RENCANA
Peluang Safawi catat sejarah baru
Seteru serantau Thailand pernah berbangga dengan Teerasil Dangda, Indonesia dengan Kurniawan Dwi Yulianto malah Singapura dengan Fandi Ahmad- kesemua mereka pernah beraksi dengan kelab liga utama di Eropah.
Kini, Malaysia merintis kemungkinan untuk turut mempunyai pemain pertama beraksi di liga utama Eropah apabila Portimonense berdepan Maritimo dalam saingan Primiera Liga Portugal 17 Oktober ini.
Safawi Rasid yang berhijrah secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) ke Portimonense awal bulan ini, merintis kemungkinan menjadi pemain Malaysia pertama mencatat lembaran baru buat bola sepak negara.
Penulis percaya ramai peminat tempatan akan mengikuti siaran secara langsung aksi Maritimo-Portimonense yang akan disiarkan di saluran 801/802 HD Astro Arena, dengan harapan menyaksikan kelibat Safawi.
PERHATIANNN !!! ???? . Secara langsung kami bawakan kepada anda perlawanan Maritimo lwn Portimonense di 802HD & 801 Astro Arena, jom ramai2 kita berikan sokongan kepada @safawirasid29 gais !!! ????????
Posted by Astro Arena on Wednesday, October 14, 2020
Sudah pasti tiada jaminan Safawi akan diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan barunya itu, ataupun masuk sebagai pemain gantian.
Tetapi penulis berasa tidak mustahil bintang negara itu akan berada dalam senarai pemain simpanan Portimonense ketika berkunjung ke Moritimo.
Seperti jutaan peminat bola sepak tempatan yang lain, penulis turut mahu menyaksikan kelibat pertama Safawi di Portugal 17 Oktober ini, sekaligus menjadi anak Malaysia pertama beraksi di liga utama sebuah negara Eropah.
Sekiranya Safawi masuk sebagai pemain gantian di penghujung babak kedua sekalipun,ia cukup memuaskan bagi penulis dan jutaan peminat bola sepak tempatan.
Jika Safawi bermain, ia juga satu penghormatan buat penulis yang akan bertugas selaku penerbit ulasan perlawanan itu di Astro Arena yang akan diulas Burn bersama pengulas jemputan, pengendali Felda United, Nidzam Jamil.
Maritimo terletak di daerah Madeira, sebuah daerah kawasan kepulauan dan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo turut berasal dari situ.
Jadi, ia venue yang amat sesuai buat pemain kelahiran Dungun itu beraksi dan menunjukkan kebolehan pemain negara di saingan elit sebuah negara Eropah.
Portimonense yang dikendalikan Paulo Sergio itu ketika ini menduduki tangga ketiga tercorot Primiera Liga dengan hanya satu mata selepas tiga perlawanan.
Bukan mudah buat Portimonense berdepan Maritimo yang kini menghuni tangga ketiga liga dengan enam mata.
Sergio gemar menggunakan formasi 4-4-2 dalam tiga aksi awal sebelum ini dan penulis juga tertanya, di posisi mana Safawi akan bermain jika diturunkan.
Jangkaan penulis, jika Safawi diturunkan dia akan mengisi posisi sayap kanan atau kiri pasukannya.
Tetapi sebagai pemain profesional yang kini beraksi di Eropah, penulis percaya Safawi sedar dia perlu bersedia beraksi di mana-mana posisi yang difikirkan sesuai Sergio buat pasukannya.
Penulis optimis, Safawi akan diturunkan pada Sabtu kerana penulis beranggapan Sergio pasti mahu menggunakan ramuan baru buat pasukannya dalam usaha mengukuhkan kedudukan liga mereka.
Sergio juga seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman melatih kelab dari Asia hasil pengalaman bersama kelab di Emiriah Arab Bersatu, Iran dan Arab Saudi sebelum ini.
Justeru penulis berasa dia tahu tahap keupayaan pemain dari Asia dan kemungkinan menghargai potensi yang dipamer Safawi bersama JDT di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) sebelum ini.
Apa pun seperti dalam artikel penulis sebelum ini, penulis percaya Safawi cukup sedia merebut tempat dalam pasukannya dan juga beraksi jika diberi kepercayaan.
Beberapa gambar Safawi menjalani latihan di Portimonense yang tular di media sosial, menyaksikan riak wajah yakin pemain negara itu.
Penulis percaya dalam tempoh empat musim Safawi di JDT, dia sudah mencapai kematangan beraksi di pentas antarabangsa dan persediaan terbaik menghadapi cabaran di Eropah.
Aksi meyakinkan di saingan ACL turut membantu dan gol jaringannya berdepan kelab China, Shandong Luneng pada 2019 yang dinobatkan sebagai gol tercantik ACL dalam sedekad hanya menguatkan lagi reputasi Safawi.