Skip to main content

Rencana

Pelaburan berkesan pemain penentu kejayaan Arteta

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mikelarteta-cropped_t04w3wqhbi5i1v8f5qa4l4g0u.jpg
Banyak harapan disandarkan oleh peminat setia Arsenal terhadap Mikel Arteta, sejak bekas pemain tengah Gunners itu dilantik sebagai pengurus kelab London Utara itu menggantikan Unai Emery pada Disember lalu.

Arteta di awal perlantikannya sebagai pengurus Arsenal, turut akui kelab itu seakan kehilangan arah.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga hanya mahukan pemain yang mampu memberikan komitmen terbaik buat Arsenal dalam usaha mengembalikan zaman kecemerlangan kelab itu.

Bagi bekas tonggak tengah Arsenal Ray Parlour, bukan hanya pendekatan taktikal seseorang pengurus itu menentukan kejayaan atau kegagalan sebuah pasukan.

Sebaliknya, seorang pengurus itu juga perlu mendapatkan sokongan pemilik dan puncuk pimpinan kelab.

“Saya masih seorang peminat Arsenal dan mahu melihat kelab itu kembali bersaing dengan barisan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) kini seperti Liverpool dan Manchester City.

“Tetapi untuk berjaya anda perlu melakukan pelaburan pemain yang tepat untuk pasukan.

“Lihat saja Liverpool, sudah pasti sesetengah pemain seperti Andrew Robertson dibeli tidak begitu mahal tetapi, apabila mereka memerlukan seorang bek tengah kental, mereka membeli Virgil Van Dijk dengan harga yang tinggi.

“Hasilnya mereka ke final Liga Juara-Juara Eropah, menjuarai saingan itu musim lalu dan kini diambang kejuaraan EPL,” kata Parlour dalam siaran terkini rancangan Man On The Street (MOTS) yang akan bersiaran pada 14 Mei ini, 9 malam di saluran Astro Supersport CH813.
 
MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersport yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang mengenai pelbagai topik.

Parlour turut percaya, Arteta pasti mempunyai ramuan tersendiri dalam membentuk sebuah barisan ampuh berdaya saing dan kerana itu sokongan pemilik dan lembaga pengarah kelab penting buatnya.

Dalam pada itu Parlour menyifatkan Tony Adams dan Patrick Viera sebagai dua kapten pasukan terbaik ketika dia bersama Arsenal dari 1992 hingga 2004.

“Adams adalah seorang bek tengah dan kapten luar biasa yang amat saya hormati, di dalam padang dia akan memastikan setiap rakan sepasukan melaksanakan tugas masing-masing.

“Patrick juga tidak kurang hebatnya, seorang pemain tengah luar biasa dan Arsenal turut menjuarai beberapa kejuaraan ketika dia menjadi kapten,” tambah Parlour.

Pada pengamatan penulis, Adams dan Viera bukan saja hebat sebagai pemain tetapi kedua-dua pemain itu mempunyai watak kepimpinan yang baik di atas padang.

Mungkin juga, ia sesuatu yang tidak dimiliki barisan Arsenal kini dan Arteta perlu memiliki pemain mirip Adams dan Viera untuk mengetuai barisan pasukannya.

Advertisement

Must Watch Video