RENCANA

Pahang 'kilang' perbaiki pemain

Dayne Azmin 26/07/2018 | 11:06 MYT
Sebutlah sesiapa sahaja.. Helmi Eliza, Muslim Ahmad, Afif Amiruddin, Norshahrul Idlan Talaha atau Bunyamin Umar, mereka ini semua bukanlah kelompok pemain yang dimahukan oleh mana-mana pasukan sebelum hadir ke Pahang.
Entah magis apa yang ada pada bekas jurulatih negara, Dollah Salleh, sehingga mampu hadirkan kembali potensi sebenar pemain-pemain disebutkan tadi kepada permata yang bersinar.
Hasilnya, kejuaraan Piala FA sudah digenggam pada musim ini dan mereka berpeluang akhiri kempen selaku tiga pasukan terbaik di pentas Liga Super.
Penjaga gol, Helmi Eliza, antara pemain yang paling menarik perhatian penulis kerana kariernya seakan-akan berakhir ekoran gagal mendapat pasukan pada awal musim di tahun 2016 selepas digugurkan Negeri Sembilan.
Dia beroleh talian hayat kedua sebaik Pahang membuka pintunya kembali beraksi walaupun pada ketika itu dibimbing Razip Ismail sebelum kehadiran Dollah pada tahun 2017 menukar segala cerita karier pemain yang berasal dari Alor Setar ini.
Beraksi hampir semua perlawanan musim ini kecuali satu perlawanan menentang PKNP di Liga Super namun tetap masuk selaku pemain gantian di separuh masa kedua, Helmi akui pendekatan Dollah seperti ayah kepada pemain buatkan dia kembali jadi seperti mana dirinya hari ini.
Sentiasa mengambil berat dan luangkan masa bercakap dari hati ke hati buatkan jiwa Helmi cukup tersentuh dengan cara Dollah lantas jadikan dia lebih bermotivasi sejak bersama Pahang.
Hampir menitiskan air mata ketika ditemubual oleh penulis, dia ucapkan syukur kariernya masih bernyawa di kala usia menginjak 35 tahun dan paling penting, dia muncul antara penjaga gol disegani di saingan Liga Malaysia.
Begitu juga Norshahrul, siapa sangka pemain yang alami penurunan prestasi selepas keluar dari Johor DT ini secara perlahan-lahan mula pamer kegarangan di barisan serangan.
Kerinduan peminat yang mahu melihat `trademark' Norshahrul melalui gelecekan dari tepi garisan sudah terubat malah dia sudah berani lakukannya dalam tiap-tiap perlawanan.
Seorang lagi pertahanan yang dulu pernah dijulang antara pertahanan terbaik di negara ini iaitu Muslim Ahmad, juga berjaya perbaiki imejnya setelah dipalit beberapa perkara kurang manis dalam kariernya selepas gagal di JDT dan disingkirkan mengejut oleh PDRM.
Bayangkan tanpa pemain import di bahagian pertahanan, Muslim sahaja sudah cukup buat Dollah sandarkan harapan merantai pergerakan penyerang-penyerang import dari pasukan lawan.
Hasilnya, kubu Pahang jadi pasukan kedua kurang dibocori musim ini selepas JDT iaitu sebanyak 19 gol sahaja dilepaskan kepada lawan.
Diharapkan ketiga-tiga pemain ini kembali diberi peluang wakili skuad negara satu hari nanti kerana kerana prestasi mereka di atas padang antara yang terbaik di Liga Malaysia pada masa kini.
;