RENCANA
Padang rumput SNBJ dalam jagaan rapi!
Apa akan terjadi jika konsert atau apa sahaja acara yang melibatkan ribuan orang berhimpun di atas rumput yang khusus untuk acara bola sepak? Kemungkinan besar permukaan rumput itu akan rosak dan akan menjejaskan keadaan padang itu.
Saya ambil contoh acara pembukaan/penutupun Sukan SEA Kuala Lumpur yang akan berlangsung Ogos depan, sudah pasti acara itu akan dilangsungkan dengan gilang gemilang melibatkan ribuan sukarelawan dan atlet berada di atas padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Bagaimana pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mahu memastikan acara berjalan dengan gemilang, dan dalam masa yang sama rumput stadium kekal dalam keadaan yang baik.
Jelas dilihat, pihak PSM sudah bersiap siaga dengan situasi tersebut dengan meletakkan satu lapisan plastik di atas permukaan padang SNBJ.
Ia bukan lapisan plastik biasa, ia dinamakan Terra Plas, satu teknologi dari England yang telah digunakan di serata dunia untuk melindungi permukaan rumput stadium.
Diperbuat daripada bahan asli polyethylene, lapisan lutsinarnya juga turut membenarkan cahaya untuk tembus ke dalam rumput, dan seperti yang kita ketahui, tumbuhan memerlukan proses fotosintesis untuk meneruskan kelangsungan dan bahan ini tidak sama sekali menjejaskan keadaan permukaan rumput meskipun ditutup dalam tempoh tiga hari.
Selamat datang ke abad ke-21 di mana teknologi sebegini bukanlah sesuatu yang pelik apabila satu hari stadium digunakan untuk acara sukan, dan hari yang lain pula djadikan sebagai tempat konsert.
Beberapa contoh yang boleh diberikan kepada anda untuk menambah keyakinan bahawa rumput di SNBJ berada dalam keadaan baik, antaranya Stade des Alpes, Grenoble, France.
Stadium ini pernah menjadi konsert kepada artis popular David Guetta dan kemudiannya ia turut digunakan untuk menganjurkan perlawanan hoki ais antara pasukan Grenoble Brûleurs de Loups menentang Briançon Diables Rouges mencatatkan jumlah kehadiran penonton tertinggi dengan 19,767.
Begitu juga yang terjadi di Kiev, Ukraine.
NSC Olympics menjadi saksi menganjurkan dua acara berbeza dalam tempoh 48 jam. Pada tanggal Jun 29, 2013, rakyat Ukraine begitu teruja untuk menyaksikan persembahan muzik daripada kugiran tempatan Depeche Mode. 12,000 orang penonton menari dan melompat sambil melayan muzik daripada kugiran itu selama hampir 2 jam setengah.
Harus diingat, 24 jam seterusnya, stadium itu akan menjadi tuan rumah kepada perlawanan antara FC Dynamo Kiev menentang Zenit St Petersburg, dan menakjubkan padang dapat disediakan untuk perlawanan tersebut dan ia langsung tidak mengalami kerosakan kerana telah dilidungi oleh permukaan Terra Plas.
Banyak lagi yang ingin saya ceritakan mengenai pembaharuan yang terdapat di SNBJ ketika ini, dari lobi eksklusif bak hotel lima bintang, sehinggalah 180 kamera CCTV yang dipasang di dalam stadium itu serta “corporate box” yang julung kali wujud di Stadium Malaysia, oh dan tidak dilupakan bilik persalinan pemain Harimau Malaya berwajah baru.
Buat masa kini, tenangkan pemikiran anda, kerana yakinlah padang rumput di SNBJ kini dalam jagaan rapi, tenang semua!