Skip to main content

Rencana

Oh United, berhentilah jadi Robin Hood

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

united.jpg
Jika anda terbiasa dengan nama Robin Hood, sudah tentu semua maklum dengan watak yang gemar mencuri daripada golongan kaya dan memberi bantuan kepada kelompok miskin.

Mungkin itu senario yang dilalui Manchester United sejak beberapa tahun lalu atau musim ini, terutamanya.

Bermula dengan kemenangan 4-0 di Stamford Bridge dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris sebelum sekali lagi mengecewakan Chelsea 2-1 ketika saingan Piala Carabao, Oktober lalu.

Chelsea bukan satu-satunya kelab besar dari London yang dikecewakan United dan kekecewaan itu tidak semestinya membawa maksud kalah.

Dua bulan lalu, ketika The Red Devils dianggap 'malang' kerana bergelut untuk berada dalam kedudukan 10 teratas, United mengikat naib juara Liga Europa musim lalu, Arsenal, 1-1 sebelum menjadi pasukan tunggal yang tidak menghadiahkan tiga mata buat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, -- setakat ini -- susulan keputusan seri di Old Trafford.

Pasukan paling penuh kejutan, Leicester City, yang menerima sentuhan bekas pengendali The Reds, Brendan Rodgers, apabila muncul pencabar utama kejuaraan liga musim ini turut gagal menundukkan United yang 'malang' apabila tewas 1-0 hasil jaringan tunggal Marcus Rashford dalam aksi kelima liga.

Terbaru, anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu menyambut kepulangan Jose Mourinho ke Old Trafford dengan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur sebelum terus cemerlang menundukkan juara liga dua kali berturut-turut, Manchester City, 2-1 di Etihad.

Wah, tiada mata terlepas setiap kali turun beraksi menentang kelompok 'Big 6' termasuk The Foxes. Namun, bagaimana dengan aksi menentang kelab lebih kecil?

Seperti biasa sejak beberapa musim lalu, United gagal menundukkan Wolverhampton Wanderers sebelum tewas di tangan dua pasukan yang bergelut untuk lari daripada kelompok 10 terbawah, Newcastle United dan West Ham United.

Lebih pedih, dua kelab yang baru dinaikkan ke pentas tertinggi England musim ini, Sheffield United dan Aston Villa, berjaya mencuri satu mata dalam pertemuan masing-masing dengan United tatkala kedua-dua perlawanan itu menyaksikan anak buah Solskjaer melepaskan peluang terbaik untuk berakhir dengan kemenangan.

Jadi, hampakan kelab besar tetapi gembirakan pasukan kecil, itu memang sinonim dengan nama Robin Hood tetapi bukan United. Anda adalah Manchester United dan berhentilah jadi Robin Hood!


 

Advertisement

Must Watch Video