RENCANA

NSL 2023 ke arah yang lebih cemerlang

Aruna Santhappan 17/10/2023 | 07:02 MYT
Sukan bola jaring bukanlah sukan asing di tanah air Malaysia. Kebanyakan pelajar perempuan pernah bermain sukan ini di bangku sekolah. Saya juga merupakan produk atlet dari sekolah dan apabila diberi peluang bermain di arena antarabangsa, ianya seperti satu impian.

Bola jaring telah memberi satu kerjaya untuk saya, malah saya percaya ramai atlet-atlet bola jaring telah mendapat laluan kerjaya, pendidikan dan sebagainya dengan penglibatan mereka di sukan ini.

NSL merupakan satu lagi platform di mana atlet-atlet bola jaring dapat mempamerkan bakat dan kemampuan mereka di arena yang setanding dengan liga-liga bola jaring yang diadakan di seluruh dunia.

Saya masih lagi ingat kenangan menyertai liga bola jaring di negara jiran kita, Singapura. Sambutan penonton, corak permainan yang dinamik dan bermain secara mingguan memberi satu kepuasan untuk saya sebagai atlet. Saya dapat mengasah kemahiran dan sentiasa bersedia untuk memberi persembahan yang terbaik pada setiap minggu perlawanan.

Ini adalah satu impian untuk melihat liga seperti ini diadakan di Malaysia. Saya turut berbangga dan boleh dikatakan ada sedikit cemburu. Sebagai seorang atlet, kita pasti ingin bermain dan mempamerkan bakat kita di hadapan penonton sendiri. Bak kata pepatah Bahasa Inggeris, “It’s never too late for a new beginning”. NSL telah menjadi bualan peminat-peminat bola jaring ini di peringkat antarabangsa. Malah, ramai yang menunggu untuk liga ini bermula pada setiap edisi. Ia boleh dikatakan setiap edisi NSL menarik peminatnya yang tersendiri.

A post shared by nsl.my (@nsl.my)

Penglibatan saya selama dua edisi NSL ini memberi satu pengalaman yang luas, terutama dari segi pengulas sukan. Kalau dulu melihat dari sudut atlet, kini saya melihatnya dari segi sudut pengulas sukan. Ianya kelihatan mudah dari meja pengulas untuk mengulas aksi-aksi atlet setiap pasukan tetapi saya memahami perasaan dan emosi yang dilalui oleh atlet ketika mereka beraksi di gelanggang tersebut. Ianya bukan mudah untuk beraksi secara konsisten di hadapan penonton di stadium dan semua yang menonton dari kaca televisyen.

Tetapi inilah cabaran yang dilalui dan kewibawaan yang ditunjukkan oleh atlet kita, Mereka sangat berkomitmen, mempamerkan kemahiran yang bertaraf tinggi dan ini secara langsung membuka laluan untuk atlet-atlet bola jaring kita untuk terus meningkatkan mutu permainan di peringkat kebangsaan dan di arena antarabangsa. Malaysia masih lagi sebuah negara yang digeruni dan sentiasa memberikan satu keputusan yang memberangsangkan di peringkat Asia dan Asia Tenggara bagi sukan bola jaring.

Sebagai seorang pegawai psikologi sukan, saya mengalakkan pengalaman-pengalaman yang berbeza yang dilalui oleh setiap atlet bola jaring di arena NSL ini. Tiada jalan yang mudah atau singkat untuk menjadi juara. Setiap pendedahan yang dilalui akan mematangkan mereka untuk berjaya sebagai seorang atlet dan individu.

Secara langsung, NSL dan kesemua atlet yang beraksi ini boleh memberikan impak positif untuk lebih ramai bakat-bakat muda, terutamanya kanak-kanak perempuan yang berminat untuk berkecimpung dalam arena sukan bola jaring ini. Sukan bukan sahaja untuk menyihat badan tetapi ianya menjadi satu platform untuk meningkatkan keyakinan diri, kesejahteraan diri dan membantu setiap individu untuk menjalani kehidupan yang seimbang.

NSL edisi ketiga ini telah pun membuka tirai pada 13 Oktober lalu, dengan kemasukan dua pasukan baharu, Putrajaya Dynamites dan Terengganu Marvel pasti akan menjadikan edisi kali ini lebih menyeronokkan dan mencabar. Adakah Johor Jewels akan mempertahankan taktha mereka? Atau pasukan-pasukan baharu ini akan memberikan kejutan. Saya sebagai pengulas turut merasakan hangatnya dan saya pasti pemain dan penonton merasakan debaran yang sama.

Penghujung kata, sebagai seorang bekas atlet, pengulas sukan dan peminat sukan bola jaring, ingin saya meraihkan keunggulan sukan bola jaring tanah air kita di arena NSL edisi 2023.

#Netball Super League
;