RENCANA
Norwich usik Liverpool, Pukki sakat ahli keluarga
Kicauan nakal Norwich City di sebuah laman sosial berbunyi 'Dah rasa gementar?' sebagai balasan kepada penangguhan aksi persahabatan pra-musim Liverpool dengan Shalke 04 mengundang perhatian media sosial.
Perlawanan dengan pasukan Bundesliga itu sepatutnya berlangsung pada 6 Ogos - serta merta dibatalkan sebaik pengumuman aksi pembukaan musim 2019/ 2020 pada Khamis menyaksikan Liverpool bakal menerima kunjungan pemenang Liga Kejuaraan itu di Anfield 72 jam kemudian.
Ketika persoalan sama ada naib juara Liga Perdana yang kurang 1 mata daripada Manchester City itu gementar atau ia memang persiapan biasa sebuah pasukan profesional - hanya mampu dijawab pengendalinya, Jurgen Klopp yang kini menggalas harapan lebih besar, isu yang tular ini telah membangkitkan semangat luar biasa dikalangan penyokong The Canaries.
Iklan
Rata-rata penyokong merasa lebih teruja untuk kembali menyaksikan pasukan kesayangan di saingan Liga Perdana - bukan kejuaraan yang diharapkan sebaliknya cukup sebagai pencabar dan pengacau kepada pasukan gergasi seperti Liverpool.
Penyokong Liverpool pula lebih berminat untuk mengingatkan semua betapa pembukaan musim ini sama ceritanya seperti 1976 dimana kedatangan Norwich disambut dengan kemenangan 1-0 dan The Reds kemudiannya menemui penamat sempurna apabila muncul juara Liga Perdana dan menjulang Piala UEFA pada musim yang sama.
Perang psikologi awal ini tidak terhenti disitu apabila ia turut babitkan kemampuan pemain tonggak Norwich City dari Finland, Teemu Pukki yang menerima Anugerah Kasut Emas diatas kecemerlangannya meledak 29 gol buat pasukannya musim lalu.
Bekas pengendali Finland, Mixu Paatelainen menyatakan keyakinan bahawa Pukki mampu untuk terus menjadi peledak utama The Canaries menerusi kepantasannya dalam melakukan serangan balas - amat berguna apabila berdepan pasukan hebat di saingan lebih kompetitif dan ia mungkin cara terbaik untuk pengendali Norwich, Daniel Farke mempertahankan gawang dan pada masa sama, mencuri gol.
Dengan pertembungan yang dijangka menarik diantara pemain berusia 29 tahun itu dan penjaga gol terbai Liga Perdana, Alisson Becker yang dalam tugasan penting bersama Brazil, Pukki hanya mahu fokus untuk menjaringkan gol sulung liga ketika bertemu Liverpool atas dua sebab.
Pertama, menyakat ahli keluarganya yang kebanyakannya merupakan penyokong setia Liverpool. Kedua, mengumpul seberapa banyak gol untuk mengetahui apakah dia mampu mencabar rekod pemain prolifik Finland, Mikael Forssell di saingan liga - menjaringkan 17 gol buat Birmingham City pada musim 2003/ 2004.
Nampaknya selepas ini ‘admin’ Norwich City perlu mengusik Pukki pula menjelang aksi dengan Liverpool 9 Ogos nanti untuk menaikkan semangatnya menjaringkan gol.
Must-Watch Video