Skip to main content

Rencana

Nasib baik Fitri ke Dhaka

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fitri-saari-191017.jpg
Tuhan sudah tentukan Fitri Saari akan ke Dhaka untuk bantu skuad hoki negara tewaskan Pakistan, 3-2 pada aksi sulung Super 4 Piala Asia 2017.

Siapa sangka, pemain tengah ini masih bertenaga walaupun rehat kurang 24 jam berulang-alik dari 
Malaysia kerana menjaga anaknya yang sakit.

Saya masih ingat kata-kata Fitri ketika menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA): "Saya bermain untuk Adam Zafran (anak). Saya akan cari gol untuk dia, bantu Malaysia menang dan bawa pulang Piala Asia untuk dia," kata Fitri.

Sememangnya, dia membuktikan tekad itu.

Malaysia bermula perlahan di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani. 

Skuad kendalian Stephen van Huizen ketinggalan dua kali apabila Muhammad Razie Abd Rahim merapatkan jaringan sebelum Shahril Saabah menjadikan kedudukan, 2-2.

Suku ketiga, Malaysia dihadiahkan penalti stroke dan Fitri diberi tanggungjawab untuk mengambil gerakan itu.

Tolakan padu ke bahagian tengah berjaya menewaskan penjaga gol Pakistan sekaligus kemenangan untuk Malaysia - Fitri diangkat sebagai wira pasukan.

"Nasib baik Fitri pergi ke Dhaka," kata penerbit Nadi Arena.

Saya terus memerhatikan visual yang dihantar ke Kuala Lumpur, malangnya anugerah Pemain Terbaik dan Penjaring Gol Terbaik milik pemain Pakistan.



Apa yang lebih penting, Malaysia menang.

Tahniah The Malaysian Hockey Tigers, terus gembirakan rakyat dan selepas ini, perlawanan kedua Super 4 berdepan India pada Khamis.

Menang bermakna, Malaysia berpeluang cerah mara ke final sekaligus rekod baru dalam sejarah hoki negara.

Saya percaya, Stephen akan mengarahkan pemain bermain bermati-matian kerana ia peluang keemasan untuk mengatasi pencapaian terbaik tangga ketiga 2007.

Go Malaysia!
 

Advertisement

Must Watch Video