Najmi tinggalkan Harimau
Bazly Azmi
Julai 10, 2018 14:30 MYT
Julai 10, 2018 14:30 MYT
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan.
Tetapi soalnya kenapa pada saat genting ini? Kenapa ketika Malaysia hampir menuju pertarungan 'terakhir', ketika semua senjata perlu dibawa ke medan Indonesia?
Saya bercakap mengenai pertahanan hoki negara, Najmi Farizal Jazlan yang meninggalkan skuad kebangsaan ketika Sukan Asia Indonesia berbaki lebih kurang sebulan sahaja lagi.
Pertahanan Universiti Kuala Lumpur itu memiliki potensi besar.
Berbekal tubuh tegap, Najmi menggalas beberapa tugas penting sama ada sebagai pertahanan, 'postman' atau pakar pukulan sudut penalti.
Saya cuba mendapatkan maklumat mengenai apa yang berlaku.
Dia baru melangsungkan perkahwinan.
Mungkin itu punca dia berada di persimpangan dilema. Mungkin dia mahu fokus kepada keluarga atau menikmati bulan madu.
Tetapi pada saat genting ini andai ada pemain yang mahu berehat, dia akan ketinggalan dan terpaksa digugurkan.
Skuad kendalian Stephen van Huizen ketika ini menghampiri kemuncak prestasi - mengikut pelan periodisasi sains sukan.
Mereka tidak boleh lalai dalam buat persiapan kerana misi utama ialah raih pingat emas Sukan Asia, pencapaian yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah temasya.
Emas bermakna layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020!
"Kami memiliki beberapa pemain simpanan seperti Mohd Najib Abu Hassan dan Amirul Aideed. Prestasi mereka tidak jauh berbanding Najmi.
"Persiapan perlu diteruskan. Seorang pergi, tapi kami masih ada pasukan ini," kata Stephen.
Saya setuju dengan pengendali berusia 60 tahun itu.
Perjuangan perlu diteruskan. Walaupun tempang, walaupun keluar air mata darah sekali pun, Malaysia perlu dapatkan emas itu.
Kita tidak mahu menunggu empat tahun lagi. Cukuplah 18 tahun sejak kali terakhir skuad hoki layak ke Olimpik (Sydney 2000). Malaysia akan cuba menumbangkan gergasi Asia, India, Pakistan dan Korea.