Skip to main content

Advertisement

Rencana

Musiala buat Jerman, England saling berebut

musiala-cover-pix.jpg
Satu nama baru yang acapkali disebut dalam kancah bola sepak akhir-akhir ini adalah Jamal Musiala, pemain tengah Bayern Munich.

Dilahirkan di Fulda, Jerman tetapi membesar di England, Jamal digelar sebagai bintang baru yang bakal menggegarkan dunia pada masa akan datang.

Pada usia semuda 17 tahun dan 115 hari, Jamal sudah pun mencatatkan rekod sebagai penjaring gol termuda Bayern Munich serta penjaring kedua paling muda Bundesliga dalam sejarah.

Beberapa hari lalu, Jamal menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Juara-Juara sewaktu Bayern membelasah Lazio 4-1.

Persembahan mantap membuatkan dirinya didambakan kedua-dua gergasi Eropah yang bakal berhadapan dengan Piala Dunia tahun depan, tidak lain tidak bukan Jerman dan England.

Jamal layak untuk mewakili kedua-dua negara itu dan spekulasi tentang pilihan hatinya sudah tersebar sejak berminggu-minggu lalu.

Dalam sesi temu bual bersama laman sesawang Bundesliga.com, kapten Bayern serta skuad kebangsaan Jerman, Manuel Neuer, dipetik sebagai berkata: “Jamal seorang pemain muda yang amat berbakat, mampu bersaing pada tahap tertinggi dan kami sememangnya memerlukan pemain sepertinya.”



Kenyataannya ini turut disokong oleh rakan sepasukan serta pemain tengah kebangsaan Jerman, Joshua Kimmich.

“Negara yang berjaya mendapatkan khidmat Jamal boleh diibaratkan sebagai meraih satu berlian yang bersinar dengan terang sekali,” katanya.

Menurut akhbar The Sun, ketua jurulatih kedua-dua pasukan kebangsaan Jerman dan England, Joachim Loew dan Gareth Southgate, dilaporkan sudah pun mengadakan perbincangan mendalam bersama Jamal dengan harapan dapat memujuknya untuk menaburkan bakti buat negara masing-masing.

Malang buat England, tidak lama selepas selesai tugasannya dalam Liga Juara-Juara beberapa hari lalu, Jamal mengumumkan yang dia telah membuat keputusan untuk bersama dengan negara kelahirannya, Jerman, kerana dia kurang yakin akan dapat meraih tempat dalam kesebelasan utama skuad The Three Lions itu.



Sebagai ganjaran atas persembahannya yang menakjubkan, Bayern dilaporkan bakal menawarkan kontrak baru selama lima tahun buat Jamal dengan gaji setinggi £100,000 (RM492,000) seminggu.

Berdasarkan apa yang sudah Jamal tunjukkan, sememangnya tidak mustahil untuk dia meletakkan dirinya sebaris dengan Kylian Mbappe dan Erling Haaland sebagai pemain-pemain muda termahal dalam tempoh beberapa tahun lagi dan semestinya peminat bola sepak boleh menanti-nantikan lebih banyak kejutan daripadanya.

Kredit imej: Sky Sports

Advertisement

Must Watch Video