Penerjun negara Leong Mun Yee, bukan sahaja terlepas meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga di Malaysia, tetapi terkurung di Pusat Aquatik Chengdu kerana penularan Coronavirus di China.

Saya sempat berinteraksi dan memberi ucapan tahun baru kepada Mun Yee yang akan beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun juga edisi ke 5nya.

Dalam misi membutirkan pingat buat tanahair tercinta di temasya Olimpik yang akan bermula pada 24 Julai ini, Mun Yee tekad fokus kepada objektifnya di negara tembok besar itu, walaupun kampung halaman di Ipoh merupakan tempat terbaik untuk dia bersama keluarga pada hari perayaan.

Tambahan lagi, Coronavirus yang meragut banyak nyawa di China juga menjadi cabaran besar untuk atlet 35 tahun itu.
  1. Nama pusat latihan dan berapa lama di China?
Pusat Akuatik Chengdu sejak 6 Januari lalu sehingga 2 Februari ini.
  1. Berapa penerjun negara and siapa jurulatih?
Saya(Leong Mun Yee), Pandelela Rinong, Kimberly Bong, Wendy Ng, Enrique MacCartney Harold dan 2 orang jurulatih, Li Rui dan Li Teng.
  1. Ada pasukan lain berlatih bersama penerjun negara?
Kami berlatih bersama para penerjun dari Szechuan. Suasana kompetitif diperlukan bagi persiapan hadapi penerjun terbaik dunia di Tokyo nanti.
  1. Ini kali ke berapa Mun Yee berada di luar negara ketika Tahun Baru Cina?
Hahaha..banyak kali..Ada lebih daripada 10 kali saya tiada di Malaysia untuk sambut Gong Xi Fa Cai kerana latihan atau pertandingan di luar negara.
  1. Bagaimana anda raikan perayaan di Chengdu?
Tiada cuti dan rehat dalam bilik sahaja. Kami hanya meraikan di kafe bersama rakan pasukan… makan biasa-biasa sahaja. Takde, ang pau!
  1. Apa langkah diambil di pusat latihan untuk elak dijangkiti Coronavirus?
Kami akan ambil suhu badan setiap hari. Orang luar tidak dibenarkan masuk ke pusat latihan dan atlet pun tak boleh keluar. Jadi terkurung je lah!
  1. Apa yang Mun Yee paling rindu ketika ini?
Saya paling rindu untuk bersama keluarga di Ipoh. Saya dapat bayangkan mereka makan besar sehari sebelum tahun baru dan nikmati kuih-muih yang sedap, dan menziarahi keluarga dan rakan karib.
  1. Selalunya bagaimana penerjun di China raikan Tahun Baru Cina?
Mereka pun tiada cuti. Hanya sehari waktu rehat sebelum memulakan rutin latihan semula. Makan pun kena jaga.
  1. Sebagai rakyat berbilang kaum di Malaysia, apa makna perayaan ini untuk anda?
Pada perayaan Tahun Baru Cina adalah masa terbaik buat kita meluangkan masa dengan keluarga tersayang termasuk meraikannya bersama rakan-rakan dari pelbagai kaum. Juga perayaan penting sebegini termasuklah Hari Raya, Deepavali, Krismas dan Hari Gawai, akan mendorong kepada perpaduan dan keamanan negara.
  1. Harapan anda untuk tahun baru 2020?
Saya harap keluarga dan rakan sentiasa gembira dan sihat selalu.
Juga harapan besar di Sukan Olimpik 2020 Tokyo supaya saya dapat tunjuk prestasi terbaik dan hadirkan pingat terutamanya kilauan emas.
Gong Xi Fa Cai!!!