Morales tambah variasi serangan Harimau Malaya

Asmawi Bakiri
Disember 20, 2023 15:36 MYT
Tempoh sepanjang lima tahun Romel Morales beraksi di Malaysia kini secara rasminya dihadiahkan dengan panggilan sulung bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Asia 2024.
Setelah berbulan-bulan lamanya spekulasi menular, status naturalisasi Morales akhirnya telah disahkan.
Menerusi temu bual dengan akhbar Berita Harian, ejen pemain itu, Effendi Jagan Abdullah, mendedahkan bahawa individu yang pertama sekali melihat potensi Morales adalah bekas ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal, yang bersetuju untuk membawa masuk pemain itu beraksi bersama kelab PKNS FC pada 2018.
Semestinya penyokong pasukan kebangsaan masih terkenang memori manis sewaktu Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF pada 2010, di mana Rajagobal sebagai pengendali merupakan tokoh yang mencatur kemenangan pasukan, mengatasi segala liku-liku dan mengecapi kejayaan yang setakat ini masih belum berjaya diulangi.
Mungkinkah tanpa disedari, peranan Rajagobal dalam mengiktiraf Morales bakal menjadi langkah pertama untuk memacu Harimau Malaya melakar sejarah dalam pertandingan yang akan datang?
Harus disorotkan di sini juga bahawa kebolehan Effendi dalam mengenal pasti bakat pemain bukan calang-calang. Lihat sahaja kepada Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto -- dua pemain Argentina yang menggegarkan kancah bola sepak Malaysia bersama kelab MBPJ, dua dekad lalu.
Asalnya memainkan peranan pemain tengah menyerang, Morales dikerah untuk beraksi sebagai penyerang utama pada 2021 oleh bekas jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak, gara-gara krisis kecederaan yang dialami pasukan ketika itu.
Memiliki keistimewaan daripada segi penyudah tepat serta bijak membaca permainan, Morales menyudahkan musim tersebut dengan mencatatkan sebanyak 15 gol, termasuk kejayaan merangkul Piala Malaysia 2021, disusuli tujuh gol pada musim berikutnya.
Selain itu, dia turut memainkan peranan penting dalam membolehkan KL City FC tampil naib juara dalam kempen Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023.
Bukan sekadar seorang penyerang berbisa yang masih muda usianya, Morales turut dapat menghadirkan lebih banyak pilihan buat pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-Gon, atas kebolehannya beraksi di bahagian sayap kiri dan bahagian Tengah bagi menambahkan variasi dan potensi serangan pasukan.
Antara individu yang paling gembira dengan penyertaan Morales semestinya adalah Paulo Josue, seorang lagi pemain naturalisasi yang turut sama beraksi bersama KL City FC.
“Selain ketajaman di hadapan pintu gol, Morales mampu untuk menggelecek dengan baik dan mahir mempertahankan bola.
“Kita sudah ada Darren Lok, seorang penyerang yang cukup bekerja keras, tetapi dengan adanya pilihan tambahan melalui kehadiran Morales, pasukan kami akan lebih kuat lagi daripada sebelumnya,” ujar Josue.
Di sebalik berita ini, timbul juga sedikit-sebanyak tanda tanya akan impak yang bakal Morales hadirkan kepada pasukan.
Kebolehannya tidak perlu disangkal tetapi dia belum pernah beraksi di tahap antarabangsa, maka Piala Asia 2024 bakal menjadi aksi sulungnya secara rasmi.
Sebelum sepak mula menentang Jordan pada tanggal 15 Januari akan datang, sejauh manakah Morales mampu membentuk keserasian bersama rakan sepasukan yang lain, sedangkan kebanyakan mereka yang lain dalam pasukan kebangsaan sudah cukup lama bergandingan bersama?
Bagaimana pula kesannya terhadap semangat pasukan, jika seorang pemain yang baru masuk terus diberikan tanggungjawab sebagai penyerang utama, sedangkan ada pemain-pemain lain yang telah bertahun-tahun lamanya berusaha untuk mendapatkan peranan tersebut?
Terserah kepada Pan-Gon untuk meleraikan isu ini tetapi apa yang pasti adalah semangat penyokong kini semakin berkobar-kobar dalam menantikan saingan yang bakal mendatang.
#Malaysia #Bolasepak #Romel Morales
;