RENCANA
Morais bukan "cuci tangan"
Malam gemilang buat Johor Darul Takzim apabila meraikan kejayaan menjuarai Liga Super 2017 dengan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan di Stadium Larkin pada Rabu.
Disaksikan ribuan penyokong sendiri, skuad Harimau Selatan muncul pasukan pertama tanahair menjulang trofi baru Liga Super selepas memenangi kejuaraan itu buat kali keempat berturut-turut.
Lebih menarik, kemenangan membolehkan skuad Harimau Selatan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam aksi liga di laman sendiri untuk lima musim berturut-turut sejak 2013.
Sememangnya, ia satu pencapaian hebat dalam sejarah bola sepak tanahair kerana skuad JDT berjaya mengekalkan prestasi konsisten sejak 2014 walaupun pemain dan jurulatih bersilih ganti.
Penulis yang mengikuti rapat perkembangan pasukan ini berasakan barisan pemain JDT layak meraih kejuaraan itu berdasarkan komitmen yang ditunjukkan mereka pada musim ini.
Ada pepatah mengatakan, mengekalkan kejuaraan lebih sukar berbanding memenanginya buat kali pertama. Namun, itu berjaya dilakukan skuad JDT yang juga juara Piala AFC 2015.
Percaturan JDT membawa masuk Ulisses Morais dari Portugal membuahkan hasil. Beliau menyertai JDT pada pertengahan musim ini ketika mereka tampak pincang di bawah bimbingan Benjamin Mora. Itu teori penulis susulan kegagalan mereka dalam kempen Piala AFC musim ini.
Namun, Morais dengan karakter tegas dan merendah dirinya berjaya menangani permasalahan itu menerusi beberapa kaedah antaranya pendekatan taktikal berbeza terhadap barisan pemain JDT.
Kesulitan yang melanda skuad JDT seperti kecederaan tonggak pertahanan Marcos Antonio dan penggantungan perlawanan penjaga gol utama Farizal Marlias tidak menghalang Morais memacu JDT cemerlang musim ini.
Lantas, tiada istilah Morais menyertai JDT sekadar 'cuci tangan' untuk memastikan kejuaraan milik mereka kerana kejayaan yang hadir juga adalah usaha kerasnya dan barisan kejurulatihan JDT.
Dalam perlawanan menentang Kelantan, genap tiga bulan Morais membimbing JDT sekaligus kejayaan yang dirai sudah pasti meninggalkan kenangan manis buat dirinya.
Mungkin, untuk memastikan kewibawaan dirinya, kejuaraan Piala Malaysia kini jadi agenda Morais dalam usaha melengkapkan kejayaan manis JDT musim ini.
Gambar kredit: Facebook Johor Southern Tigers