RENCANA

MOM patut berjimat

Bazly Azmi 05/02/2018 | 15:29 MYT
Tahniah buat atlet luncur ais negara, Julian Yee, dilantik pembawa bendera kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, bermula 9 Februari ini.
Walaupun Malaysia hanya diwakili dua atlet (termasuk Jeffrey Webb) namun penyertaan ini penting kerana mencatat sejarah sebagai penampilan sulung negara dalam Olimpik Musim Sejuk.
Saya tertarik dengan majlis penyerahan jalur gemilang di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.
Majlis itu diketuai chef-de-mission (CDM), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, Julian dan dua pegawai kontinjen negara. Hanya untuk meraikan beberapa individu tetapi menelan belanja besar.
Itu belum dicampur kehadiran pegawai utama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan wartawan yang membuat liputan.
Tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, pernah menegur pegawai persatuan sukan kebangsaan supaya memilih bangunan kerajaan bagi mengurangkan kos pada waktu sukar ini.
Malah, MOM sendiri mempunyai wisma yang sesuai untuk majlis seperti itu.
Apa yang menarik, ada pegawai MOM yang turut mempertikaikan kewajaran mengadakan majlis itu di hotel mewah sedangkan individu yang diraikan hanya beberapa kerat.
MOM sebagai badan induk patut jadi contoh kepada persatuan sukan kebangsaan yang bergelut mencari dana hingga ada yang terpaksa menamatkan kontrak jurulatih dan atlet kerana kesempitan wang.
Saya bukan mahu meruntuhkan semangat kontinjen negara, namun perlu ada pihak yang menegur demi kebaikan sukan.
Semoga Julian (figure skating) dan Jeffrey (alpine ski) mampu cipta kejutan pada penampilan yang cukup bersejarah di Pyeongchang.
;