RENCANA
Misi sukar tapi tidak mustahil
Selepas gagal layak ke Piala Dunia Wanita ketika Liga Hoki Dunia Separuh Akhir yang berlangsung di Brussels, Belgium, Julai lalu, kini pasukan hoki wanita negara mendapat peluang terakhir dalam Piala Asia Wanita yang akan berlangsung di Kakamigahara, Jepun dari 28 Oktober-5 November ini.
Juara Hoki Piala Asia Wanita ini akan mendapat tiket automatik ke Piala Dunia Wanita 2018 yang akan berlangsung di London.
Pasukan hoki wanita negara diletakkan di dalam Kumpulan A bersama China, India dan Singapura manakala Kumpulan B mengandungi Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Kazakhstan.
Empat pasukan dari Asia sudah pun berjaya layak ke Piala Dunia 2018, iaitu Jepun, Korea, China dan India menerusi Liga Hoki Wanita Dunia Separuh Akhir yang telah diadakan di Brussels dan Afrika Selatan.
Malaysia, yang kini menduduki ranking ke-22 dunia dan nombor 5 di Asia, telah menunjukkan peningkatan mendadak apabila muncul naib juara di Liga Hoki Dunia 2 di Kuala Lumpur, seterusnya layak secara merit buat pertama kalinya beraksi dalam Liga Hoki Dunia Separuh Akhir di Brussels.
Walaupun berkesudahan di kedudukan terakhir, mereka telah menunjukkan mereka boleh memberikan tentangan kepada pasukan yang menduduki ranking yang lebih tinggi.
Seperti yang telah dijangkakan, pasukanhoki wanita negara juga telah memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan lalu.
Memetik kata-kata ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, pasukan negara telah menunjukkan peningkatan secara keselurahan tetapi di kawasan sepertiga terakhir harus diberikan tumpuan.
Ini jelas dilihat apabila mereka berjaya mengatur corak serangan tetapi apabila berada di dalam kawasan 23 meter dan di dalam kawasan D, pasukan hoki wanita negara tidak begitu efektif.
Penyudahan pukulan sudut penalti juga harus dipertingkatkan. Direct flick ataupun daripada set-piece. Pujian harus diberikan kerana selepas sekian lama, Dhaarma berjaya melahirkan pakar pukulan sudut penalti wanita negara, iaitu Nuraini Abdul Rashid.
25 hari lagi kejohanan akan bermula dan saya pasti aspek-aspek ini yang pasti akan cuba dipertingkatkan oleh Dhaarma.
Walaupun juara diberikan tiket ke Piala Dunia, Dhaarma melihat dari sudut yang realistik meletakkan sasaran pasukan negara adalah untuk layak ke separuh akhir. Kali terakhir pasukan negara layak ke separuh akhir dalam Kejohanan Asia adalah pada tahun 1982.
Sekian lama pasukan negara sekadar menduduki kedudukan kelima Asia di belakang Jepun, China, Korea dan India.
Jika dua faktor kelemahan separuh akhir ini dapat dipertingkatkan, kita akan mempunyai peluang menewaskan India di peringkat kumpulan dan mencerahkan peluang ke perlawanan separuh akhir.
Dengan sedikit "tuah", siapa tahu kita mungkin boleh muncul Juara. Sebagaimana yang dilakukan oleh skuad hoki lelaki negara di London, siapa sangka mereka yang berada di ranking nombor 8 dalam Liga Hoki Dunia Separuh Akhir berjaya ke peringkat separuh akhir.
Jangan menyerah sebelum bertempur. All the best The Malaysian Tigress!