RENCANA
Misi ke final buat The Malaysian Hockey Tigress
Detik yang ditunggu-tunggu telah tiba buat the Malaysian Hockey Tigress dalam misi melayakkan diri buat pertama kali ke Liga Hoki Wanita Dunia 3 yang akan diadakan di Brussels, Belgium dan Johannesburg, Afrika Selatan.
Dua pasukan teratas di sini layak secara automatik manakala tempat ketiga terpaksa menunggu dua lagi Liga Hoki Wanita Dunia 2 yang akan berlangsung di Valencia dan Vancouver untuk merebut dua lagi slot ke Liga Hoki Wanita Dunia 3.
Di peringkat Kumpulan B, Malaysia mengakhirinya di tempat kedua di belakang Ireland setelah tewas tipis 1-2 kepada skuad Green Army, menewaskan Hong Kong 9-0 dan Kazakhtan 13-1. Di peringkat suku akhir, Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum membenam Thailand 3-0.
Iklan
The Malaysian Hockey Tigress akan menentang pasukan Itali dalam separuh akhir. Itali adalah pasukan ranking tertinggi dalam kejohanan ini, dengan kedudukan ke-15 dunia. Pasukan kebangsaan kita pula di ranking ke-21 dunia.
Ireland pula, pada pendapat saya, mempunyai laluan yang lebih mudah menentang Wales. Di atas kertas, Ireland tidak akan menghadapi masalah untuk layak ke perlawanan akhir, seterusnya layak ke Liga Hoki Wanita Dunia 3.
Tetapi, dalam pengamatan saya, walaupun Itali memiliki ranking lebih tinggi daripada Ireland, Ireland adalah pasukan yang lebih mantap dalam kejohanan ini. Ireland lebih seimbang di semua bahagian.
Apa pun, prestasi barisan bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika tewas 1-2 kepada Ireland tempoh hari harus dijelmakan oleh pasukan negara untuk menewaskan Itali.
Walaupun tewas, apa yang diperlukan adalah penyudahan tajam daripada Hanis Nadia, Wan Norfaezah, Nor Azlin Sumantri serta penyerang yang lain kerana banyak peluang dicipta.
Gol daripada pukulan sudut penalti juga diharapkan hari ini. Pemain utama sudut penalti seperti Nuraini Rashid serta Nor Amarina Yahya harus memanfaatkan pukulan sudut penalti yang diterima. Sewaktu menentang Ireland, enam pukulan sudut penalti diterima.
Kehilangan bola mudah harus dielakkan, terutama di bahagian tengah kerana di situ Itali mempunyai pemain yang mempunyai teknik skil yang tinggi dan pantas. Pemain seperti Dalila Mirabella, Elisabetta Pacella serta penyerang prolifik mereka, Valentina Braconi, mampu menghukum pasukan negara.
Ini peluang terbaik untuk layak ke Liga Hoki Wanita Dunia 3 secara automatik. Jika tidak, sekurang-kurangnya mendapat tempat ketiga di sini dan menunggu serta berdoa agar kita adalah dua pasukan tempat ketiga terbaik dari tiga saingan Liga Hoki Wanita Dunia 2 ini.
Jangan kita mengharapkan pasukan pasukan lain menentukan nasib kita. Kita yang harus menentukan nasib kita dengan menewaskan Itali malam ini untuk ke perlawanan akhir, seterusnya layak secara langsung ke Liga Hoki Wanita Dunia 3.
The Malaysian Hockey Tigress harus percaya pada kebolehan diri sendiri dan pasukan untuk turun dengan keyakinan yang tinggi.
Percayalah, tiada apa yang mustahil!
Must-Watch Video