Skip to main content

Rencana

Minda Saintifik, Prestasi Olimpik: STEM pemacu kejayaan atlet negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

stem.jpg
Sains Sukan mempunyai kaitan yang rapat dengan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) kerana ia menggabungkan pelbagai disiplin ilmu untuk meningkatkan prestasi atlet dan kesihatan manusia.

Dalam aspek sains, Sains Sukan menerapkan prinsip fisiologi, biomekanik, dan psikologi bagi memahami bagaimana tubuh manusia berfungsi semasa melakukan aktiviti fizikal. Kajian mengenai anatomi, pembelajaran motor dan nutrisi sukan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kecergasan dan ketahanan atlet berada pada tahap optimum. Oleh itu, integrasi Pendidikan STEM dalam sains sukan dapat membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap aplikasi ilmu sains dalam kehidupan seharian.

Dari sudut teknologi, perkembangan pesat dalam bidang Sains Sukan telah membawa kepada penggunaan pelbagai peralatan canggih seperti sensor biomekanik, kecerdasan buatan (AI), dan teknologi peranti boleh pakai (wearable technology). Teknologi ini digunakan untuk memantau prestasi atlet, menganalisis strategi permainan, serta membantu dalam proses pemulihan kecederaan. Penggunaan realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) dalam latihan sukan turut membuktikan bahawa inovasi teknologi semakin penting dalam dunia sukan. Justeru itu, pendidikan STEM yang menerapkan elemen teknologi sukan boleh meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang kejuruteraan dan sains komputer.

Dalam aspek kejuruteraan, Sains Sukan berkait rapat dengan pembangunan peralatan dan kemudahan sukan yang lebih efektif dan selamat. Contohnya, kasut larian yang direka dengan teknologi canggih mampu mengurangkan kecederaan dan meningkatkan prestasi atlet. Selain itu, pembangunan trek larian dan gelanggang sukan yang menggunakan bahan inovatif membantu dalam mengoptimumkan daya tahan permukaan terhadap hentakan dan teknik larian atlet. Kemajuan dalam bidang kejuruteraan ini menunjukkan bahawa Sains Sukan dapat menjadi medium yang berkesan dalam menerapkan prinsip kejuruteraan dalam kalangan pelajar STEM.

Sains Sukan juga melibatkan penggunaan konsep matematik, terutamanya dalam analisis data dan pengiraan strategi permainan. Statistik prestasi atlet, sudut lompatan dalam sukan lompat jauh, serta pengiraan daya dan tenaga dalam biomekanik pergerakan merupakan antara elemen matematik yang sering digunakan dalam sukan. Algoritma dan analisis data besar (big data) juga digunakan bagi menilai prestasi pasukan dan merancang strategi permainan yang lebih efektif untuk mencapai kejayaan dalam sukan. Dengan memahami aspek matematik dalam Sains Sukan, pelajar dapat melihat bagaimana ilmu ini diaplikasikan secara praktikal dalam dunia sebenar.

Tuntasnya, integrasi Pendidikan STEM dalam Sains Sukan dapat memberikan manfaat besar kepada negara dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. Ia bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menarik, tetapi juga membuka peluang kepada inovasi dalam sukan dan kesihatan. Oleh itu, usaha untuk memperkasakan pendidikan STEM melalui Sains Sukan dan Sains Kesihatan perlu diberi perhatian agar Malaysia dapat melahirkan generasi yang lebih berdaya saing dalam dunia sains dan teknologi. Kejayaan sukan negara banyak bergantung kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, di mana pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) memainkan peranan penting dalam melahirkan atlet prestasi tinggi. 

Pendidikan STEM dalam sukan membantu meningkatkan pemahaman terhadap aspek saintifik dalam latihan dan pertandingan. Kesimpulannya, kejayaan sukan negara dan kemenjadian atlet prestasi tinggi sangat bergantung kepada pendidikan STEM yang berkesan. Dengan mengaplikasikan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik dalam latihan dan strategi permainan, atlet Malaysia dapat bersaing dengan lebih cemerlang di peringkat dunia. Oleh itu, usaha memperkasakan pendidikan STEM dalam sukan harus diteruskan agar negara terus melahirkan atlet yang mampu membawa kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Pendidikan STEM dalam Sains Sukan juga membuka peluang kerjaya dalam bidang biomekanik, penganalisis sukan, pembangun teknologi sukan, dan pakar terapi dan rehabilitasi sukan, melahirkan tenaga kerja mahir yang menyokong industri sukan dan teknologi. Tambahan pula, integrasi Pendidikan STEM dalam Sains Sukan memperkukuh inovasi penyelesaian masalah dalam bidang sukan dan kesihatan, membolehkan Malaysia menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi sukan yang meningkatkan prestasi atlet dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, Sains Sukan bukan hanya mengenai prestasi atlet semata-mata, tetapi juga berperanan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM negara serta melahirkan pelajar yang lebih inovatif, kritis, dan berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi.

DISEDIAKAN OLEH:
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan
Fakulti Sains Pendidikan Dan Teknologi UTM

Advertisement

Must Watch Video