RENCANA
Michael Oliver, nama yang takkan dilupakan Buffon
Saingan suku akhir kedua Liga Juara Juara Eropah yang berlangsung semalam menyaksikan Juventus bangkit dari tewas pada perlawanan pertama 0 – 3, dengan hebat mendapatkan tiga jaringan yang menenggelamkan keriuhan penyokong tuan rumah di Santiago Bernabeu.
Gol Juventus hadir menerusi dua tandukan Mario Mandzukic dan juga Blaise Matuidi yang sekaligus menjadikan perlawanan menjadi semakin hangat dengan agregat 3-3.
Kecemerlangan aksi “otai”, Gianluigi Buffon, yang beraksi heabt menafikan percubaan berbahaya Isco, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo memang wajar diberikan pujian.
Cuma pada minit-minit akhir permainan, pengadil perlawanan yang berasal dari England, Michael Oliver menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah apabila pertahanan Juventus, Medhi Benatia menolak Lucas Vazquez.
Buffon, selaku ketua pasukan membantah sekeras-kerasnya keputusan itu sebelum dilayangkan kad merah. Higuain terpaksa dibawa keluar bagi membawa masuk penjaga gol kedua, Szczesny yang gagal menahan masuk sepakan penalti Cristiano Ronaldo. Gol tersebut membawa Real Madrid mara ke pentas separuh akhir dengan kemenangan agregat 4 – 3.
Insiden yang berlaku kepada Buffon mengingatkan Dayang pada Piala Dunia 2006 ketika Itali berdepan Perancis, dimana pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane dilayangkan kad merah.
Apa yang terjadi kepada Gianluigi Buffon yang sudah menjangkau usia 40 tahun tentunya membuatkan peminat bola sepak terutama wanita merasa sebak. Boleh dikatakan, tahun 2018 bukanlah tahun yang bertuah buat karier beliau selaku pemain bola sepak.
Masakan tidak, Itali tidak layak ke Piala Dunia Rusia 2018, tambahan pula, ini mungkin pentas Liga Juara Juara Eropah terakhir buat Buffon jika beliau membuat keputusan mahu bersara dari arena bola sepak.
Walau apapun, Dayang secara peribadi berharap agar Buffon akan mengakhiri kariernya dengan kenangan yang lebih manis di atas padang memandangkan beliau merupakan seorang “gentleman” yang dihormati pemain seusianya atapun yang lebih muda.