Messi jaringkan gol depan mata kami
Dayang Zainatull
Disember 21, 2016 03:08 MYT
Disember 21, 2016 03:08 MYT
Program Latihan Program Kem Bola berakhir pada Jumaat, menerusi majlis penyampaian sijil dan sesi mengambil gambar bersama barisan jurulatih dan staf FCB Escola.
Segala pengalaman, pengajaran dan memori yang tercipta sepanjang program berlangsung sudah pastinya akan diguna baik oleh peserta bila kembali ke tanah air masing-masing nanti. Karakter, disiplin dan semangat kerjasama berjaya dipelajari, membanggakan semua yang terlibat dalam menjayakan Astro Kem Bola musim 2016.
Sebagai ganjaran, semua peserta dibawa ke Stadium Camp Nou untuk menonton perlawanan La Liga di antara FC Barcelona dan Espanyol, atau lebih dikenali sebagai Derbi Catalan. Suasana pada malam perlawanan sungguh meriah, dan keseronokan bukan sahaja terpancar pada wajah mereka, malah seluruh kru Astro Arena juga kelihatan tidak sabar untuk menyaksikan pasukan FC Barcelona beraksi.
Ramai bersorak gembira apabila kesebelasan utama FC Barcelona diumumkan. Mimpi bakal menjadi realiti...sekejap sahaja lagi kita akan melihat Iniesta, Pique, Jordi Alba dan sudah pastinya gabungan MSN, Messi, Suarez dan Neymar yang sentiasa mencipta magis di Camp Nou.
"Tak sangkanya boleh tengok Messi!!", kata salah seorang peserta Kem Bola.
"Kak, betul ke tu Suarez?", tanya seorang lagi, masih belum percaya inilah realiti.
90 minit berlalu dan Barcelona mudah mengutip tiga lagi mata menerusi kemenangan 4-1.
Ketika dua gol awal dijaringkan oleh Suarez, peserta Kem Bola menjerit dan bertepuk tangan, penuh kegembiraan.
Apabila gol ketiga dijaringkan oleh Jordi Alba, semakin gemuruh tepukan dari 'curva' Kem Bola.
Masa terus berlalu. Perlawanan masih diteruskan. Satu minit sahaja tinggal sebelum minit ke-90....
Dan gol! Messi berjaya meletakkan FC Barcelona dalam kedudukan yang lebih selesa menerusi gol ke-empat.
Seluruh stadium membuat aksi "menyembah raja" sambil menyanyikan nama Messi.
"Messi!! Messi!! Messi!!"
FC Barcelona menang selesa dalam Derbi Catalan kali ini. Stadium Camp Nou bergema. Penyokong bersorak. Tapi yang paling penting, peserta Kem Bola gembira.
Mimpi menjadi realiti. Memang penutup yang baik sebelum kami terbang ke Kuala Lumpur.