RENCANA
Messi hamburkan segalanya



Lionel Messi mendedahkan rahsia di sebalik tabir tentang apa yang berlaku di Barcelona.
Dalam satu temu bual penuh sensasi bersama stesen televisyen Sepanyol, La Sexta, Messi turut meluahkan rasa tidak puas hatinya akibat tindakan Barcelona menjual Luis Suarez serta mendedahkan maklumat penting tentang krisis perpindahannya.
Kontrak Messi, 33, bersama Barcelona bakal tamat tidak lama lagi.
Ini bermaksud Messi dibenarkan untuk berkomunikasi dengan kelab-kelab lain bermula dari Januari 2021 dan Manchester City serta Paris Saint-Germain (PSG) nampaknya merupakan destinasi paling berkemungkinan ketika ini.
Messi hanya berdiam diri apabila ditanya tentang segala ura-ura yang mengaitkannya dengan kelab dari luar Sepanyol, namun dia membalas dengan satu jawapan ringkas, “Jika saya membuat keputusan untuk berpindah, saya tidak akan sembunyikan apa-apa daripada kelab.”
Ditanya mengapa dia membuat keputusan untuk berpindah Ogos lalu, Messi menjawab, “Tindakan saya itu adalah untuk menunjukkan yang saya sudah membulatkan tekad, dan ia juga adalah satu luahan perasaan daripada saya.
“Saya masih mahu terus memenangi pertandingan, terutama Liga Juara-Juara Eropah, jadi ketika itu saya berasakan sudah tiba masanya untuk saya berpindah.
“Saya sudah menyuarakan hasrat saya kepada bekas presiden, Josep Maria Bartomeu, sejak awal tahun lagi tetapi dia berterusan menolak permintaan saya.
“Selepas saya terus bertegas dengan keputusan saya, segala hasrat dan kata-kata saya telah diputar-belitkan oleh bekas presiden dengan tujuan agar dia dapat memburukkan nama saya dan membuatkan saya dibenci oleh peminat.”
Messi terus menegaskan yang keputusannya didorong dengan kuat oleh tindakan pihak atasan Barcelona.
“Cukup sukar untuk saya meluahkan yang saya berhajat untuk meninggalkan kelab serta bandar ini.
“Keluarga saya mahukan agar saya terus kekal di sini, saya tahu mereka selesa di sini, tetapi saya tetap berasakan masanya sudah tiba untuk saya pergi.
“Saya dengar yang penjualan Suarez tidak ada kaitan dengan tindakan saya untuk berpindah, tetapi saya tetap berasakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal, melepaskan Suarez secara percuma dan melepaskannya kepada pasukan musuh ketat pula! Entah apalah yang pihak kelab fikirkan?”

Messi kemudian mendedahkan yang dia masih berhubung dengan Suarez, serta bekas rakan sepasukannya, Neymar, yang kini berkhidmat dengan PSG.
“Saya dan Suarez memang banyak bersembang, saya masih bercakap dengannya setiap hari.
“Saya rapat juga dengan Neymar, tetapi kali terakhir saya berbual dengannya adalah sewaktu pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
“Ada ura-ura yang mengatakan kelab mahu membeli semula Neymar, tetapi sekarang ini semua kelab sedang mengharungi tempoh yang getir daripada segi kewangan, jadi mungkin agak rumit untuk membawa Neymar pulang ke sini.
“Kalau Neymar sanggup nak terima pemotongan gaji sekalipun, mampukah Barcelona hendak membayar yuran perpindahannya yang teramat tinggi? Kita tunggu dan lihat sajalah,” ujar Messi menamatkan perbualan tentang topik ini.
Menjurus kembali kepada topik hangat yang melibatkan perpindahannya, Messi akhirnya mengakui bahawa cintanya kepada kelab adalah merupakan faktor utama yang menyebabkan dia masih lagi kekal di Barcelona buat waktu ini.
Disebabkan terikat dengan perjanjian kontrak, Messi harus mengheret pihak pengurusan Barcelona ke mahkamah bagi membolehkan dia menamatkan kontraknya dan membolehkan dia berpindah ke pasukan lain.
Di sini, Messi mendedahkan bahawa dia yakin untuk menang di mahkamah, tetapi itu bukanlah cara yang dia mahukan untuk pemergiannya.

Jika Messi memilih untuk berhijrah ke Manchester City, salah satu kelab yang mampu untuk membayar khidmatnya, dia akan dapat bersatu semula dengan bekas jurulatihnya, Pep Guardiola.
Messi memuji sikap Guardiola yang memastikan pasukannya sentiasa bersedia, serta mengakui yang Guardiola serta jurulatih pasukan kebangsaan Sepanyol, Luis Enrique, merupakan dua jurulatih terbaik yang pernah bekerjasama dengannya.
Menyebut tentang jurulatih terkini Barcelona, Ronald Koeman, Messi meluahkan rasa simpatinya.
“Koeman sedang mengharungi tempoh sukar kerana sejujurnya kelab kami masih berada dalam fasa perubahan.
“Selain itu, kami juga ada ramai pemain muda yang berbakat tetapi masih dalam proses meraih pengalaman, jadi kesemua ini merupakan tanggungjawab tambahan buat Koeman juga,” katanya.
Barcelona kini menantikan pemilih presiden baru kelab pada 24 Januari, dan semestinya peranan yang dimainkan oleh presiden baru itu akan menentukan sama ada mereka dapat mengekalkan khidmat legenda mereka ini ataupun terpaksa merelakan sahaja Messi berhijrah.