Saingan Piala Malaysia memang cukup sinonim dengan pasukan gergasi merah kuning, Selangor. Berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 33 kali, sudah cukup memberi gambaran bahawa skuad Selangor cukup pakar dengan format yang dipertandingkan.

Pasukan negeri lain dilihat amat sukar utuk memecahkan monopoli Selangor selaku pasukan terbanyak muncul juara. Paling hampir pun Singapura sebanyak 24 kali ( tidak lagi bertanding), diikuti Perak 7 kali dan Kedah 5 kali.

Untuk musim 2017 ini, biarpun prestasi Selangor di liga super biasa-biasa sahaja tetapi persembahan mereka dalam Piala Malaysia setakat ini cukup baik. Skuad kendalian P Maniam bersama-sama dengan tiga lagi pasukan di kumpulan D iaitu Johor DT, Terengganu dan Sarawak dan apa yang mengejutkan ialah Selangor merupakan pendahulu selepas empat perlawanan. Dengan tiga kemenangan dan satu keputusan seri, Selangor dilihat berada di landasan tepat setelah layak ke suku akhir sekaligus membuka harapan untuk “misi 34”.

Biarpun diawal musim lalu pasukan The Red Giants diuji dengan berbagai dugaan antaranya isu penajaan, pihak pengurusan tidak telus, dana yang ditarik dari kerajaan negeri, tidak lupa juga isu Stadium Shah Alam yang diberikan kepada pasukan PKNS FC, namun itu semua adalah isu luar padang yang harus ditolak tepi oleh pemain apabila melangkah masuk ke padang menyarung jersi negeri.

Pencapaian The Red Giants di liga juga tidaklah terlalu teruk. Menduduki tangga kelima di belakang JDT, Kedah, Pahang dan Felda United , perbezaan mata di antara Selangor dan tiga pasukan diatas tidaklah terlalu jauh. Cuma JDT sahaja dilihat kukuh dengan 45 mata dan kekal selaku pendahulu liga.

Kemasukan orang lama, Amri Yahyah pada April lalu turut membawa perkembangan positif kepada seluruh pasukan. Pengalaman yang dimiliki Amri ternyata membantu pemain-pemain belia antaranya Adam Nor Azlin dan Saiful Ridzuwan untuk beraksi dengan lebih yakin. Terbaru, Amri turut membantu Selangor menewaskan JDT di Selayang dan turut menjaringkan gol kemenangan.

Biarpun perlawanan Piala Malaysia peringkat kumpulan masih belum berakhir, Selangor dilihat berada dalam prestasi terbaik dan dijangka akan terus kekal menjadi pencabar utama disamping Kedah dan juga JDT untuk saingan Piala Malaysia.