Meletakkan sesuatu yang betul di tempat yang betul adalah amanah, integriti kejayaan sukan negara
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Ogos 19, 2024 10:03 MYT
Ogos 19, 2024 10:03 MYT
Meletakkan sesuatu di tempat yang betul dan mengutamakannya adalah prinsip yang penting dalam pelbagai aspek kehidupan dan sains kerana ia berkait rapat dengan organisasi, efisiensi, keselamatan, dan fungsi optima. Prinsip ini membantu memastikan setiap elemen dalam satu sistem berfungsi dengan baik dan memberikan hasil yang mapan.
Prinsip "meletakkan sesuatu yang betul, di tempat yang betul" merupakan konsep penting dalam Islam yang merangkumi keadilan, amanah, dan kebijaksanaan. Al-Quran menggariskan kepentingan ini dalam Surah An-Nisa' (4:58) yang menyeru agar amanah disampaikan kepada yang berhak menerimanya dan hukum dijatuhkan dengan adil. Ayat ini menekankan bahawa berlaku adil dan menempatkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai adalah tuntutan Allah swt yang harus diikuti oleh setiap Muslim.
Dalam Surah Al-Maidah (5:8), Allah mengingatkan umat Islam untuk sentiasa berlaku adil, walaupun terhadap kaum yang dibenci, kerana keadilan itu lebih dekat kepada takwa. Ini menunjukkan bahawa meletakkan sesuatu di tempat yang betul adalah asas kepada keadilan yang perlu ditegakkan tanpa mengira perasaan peribadi, dan ia adalah refleksi kepatuhan kepada perintah Allah. Nabi Muhammad SAW turut menekankan prinsip ini melalui beberapa hadis. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, baginda menjelaskan bahawa Allah SWT telah menetapkan segala sesuatu pada tempatnya dan mengingatkan agar tidak mengubah ketetapan tersebut. Ini menunjukkan pentingnya mematuhi ketetapan Ilahi dalam setiap aspek kehidupan.
Dalam konteks sukan, prinsip "meletakkan sesuatu yang betul di tempat yang betul" merujuk kepada pemilihan atlet, penempatan atlet dan penggunaan sumber dengan cara yang optimum. Atlet perlu dipilih dan diletakkan dalam posisi yang sesuai dengan kemahiran mereka, seperti pelari pecut dalam acara pecut dan pemain ragbi dalam acara ragbi. Sebagai contoh, kejohanan peringkat negeri atau kebangsaan, atlet seharusnya fokus satu jenis sukan sahaja dan tidak memilih pelbagai jenis sukan untuk bertanding. Penggunaan sumber seperti peralatan sukan, fasiliti sukan dan teknologi sukan juga perlu dipertimbangkan secara strategik untuk memastikan keberkesanan dalam latihan dan pertandingan. Dengan meletakkan atlet dan sumber di tempat yang betul, prestasi keseluruhan dapat ditingkatkan dan potensi maksimum dapat dicapai. Prinsip ini melibatkan pemberian peluang yang sama rata kepada semua atlet untuk bersaing secara adil tanpa ada unsur kronisme dan favouritisme. Sudah menjadi kelaziman isu utama dalam sukan, pemilihan yang tidak telus berlaku dan malahan ada yang terpilih kerana penyumbang utama dana pasukan, merupakan anak somebody dan pelbagai isu yang berkaitan.
Selain itu, pemilihan atlet dan kepimpinan sukan harus berdasarkan yang terbaik di kalangan terbaik. Amalan pengurusan integriti dalam sukan perlu diangkat dan menjadi nadi utama kejayaan sukan negara. Kita tidak mahu dengar isu seperti kuota ke acara sukan di angkat sedangkan apa yang paling penting adalah isu kaedah yang berkesan untuk meningkatkan prestasi sukan negara. Perletakan dan penempatan individu yang berpengetahuan dalam posisi kepimpinan sukan dan pengurusan sukan juga perlu dititikberatkan dan bukan atas dasar merit jawatan politik sahaja. Ya betul, orang politik mempunyai kelebihan kuasa dan pangkat untuk mencari dana kewangan dan penajaan sukan. Namun begitu, kejayaan utama dalam sukan adalah bagaimana aplikasi sains sukan dan teknologi sukan diaplikasi dalam perodisasi jadual latihan sukan. Kepimpinan sukan yang berkesan memastikan keputusan dan strategi yang tepat dalam mencapai matlamat kejayaan sukan. Dengan mempraktikkan prinsip ini, sukan dapat dijalankan secara adil dan inklusif, menghasilkan kejayaan yang lebih besar dan berkesan dalam pencapaian matlamat atlet, organisasi dan negara.
Konteks organisasi dan efisiensi, meletakkan elemen-elemen di tempat yang betul memastikan aliran kerja yang lancar dan ia dapat mengurangkan risiko kesilapan. Contohnya, dalam tubuh badan manusia, organ-organ berada di bahagian badan tertentu untuk menjalankan fungsi mereka tersendiri dengan efisien. Hati, sebagai contoh, terletak berhampiran usus untuk memudahkan proses detoksifikasi selepas penyerapan nutrien. Dalam kejuruteraan pula, meletakkan komponen dengan tepat dalam reka bentuk elektronik memastikan sistem berfungsi dengan stabil dan mengurangkan risiko kerosakan kepada alat tersebut. Dalam bidang pembinaan, sokongan struktur yang diletakkan di tempat yang betul adalah kritikal untuk mengelakkan risiko keruntuhan dan membahayakan pengguna. Begitu juga dalam biologi, penempatan protein dalam sel perlu tepat untuk memastikan sel berfungsi dengan baik. Kesalahan dalam penempatan ini boleh menyebabkan gangguan metabolik atau penyakit serius, seperti penumpuan bahan toksik dalam sel. Protein memainkan peranan utama memperbaiki tisu dan otot yang rosak akibat bersukan,senaman dan lain lain.
Penempatan yang betul memastikan fungsi optimum bagi sistem atau sesuatu organisasi. Dalam konteks, reka bentuk ruang kerja, misalnya, meletakkan alat dan bahan di tempat yang strategik memudahkan akses dan meningkatkan produktiviti. Ini juga membantu mengurangkan keletihan dan kecederaan semasa bekerja, kerana semua keperluan berada di tempat yang mudah dijangkau dan dijalankan dengan betul. Aplikasi konteks teknologi dan inovasi, meletakkan elemen-elemen di tempat yang betul juga mengoptimumkan fungsi sistem. Dalam reka bentuk perisian, algoritma perlu diletakkan dalam urutan yang betul untuk memastikan program berjalan dengan efisien dan tanpa kesilapan. Hal yang sama berlaku dalam reka bentuk rangkaian komunikasi, di mana penempatan komponen yang strategik adalah penting untuk kelajuan dan ketepatan transmisi data.
Kesimpulannya, meletakkan sesuatu di tempat yang betul adalah asas kepada organisasi yang berkesan, keselamatan dan mengurangkan risiko kecuaian, dan fungsi optima dalam semua sistem. Prinsip ini memastikan bahawa setiap elemen dalam sistem, sama ada sukan, biologi, atau kejuruteraan, dapat beroperasi dengan cara yang paling efektif dan berkesan, memberikan manfaat maksimum kepada keseluruhan sistem. Hadis riwayat Ahmad, baginda menasihatkan agar kebaikan diberikan kepada yang berhak menerimanya dan menghindari kezaliman dengan tidak meletakkan sesuatu pada tempat yang salah. Prinsip ini bukan sahaja mencerminkan keadilan dan kebijaksanaan tetapi juga menzahirkan ketakwaan serta kepatuhan kepada ajaran Islam yang benar. Oleh itu, SUKMA adalah asas penting dalam ekosistem sukan negara, memastikan pembangunan berterusan atlet dan peningkatan prestasi sukan di Malaysia. Adalah amat malang apabila sukan di politikan. Dengan hikmah kita teroka, KERANA TUHAN UNTUK MANUSIA.
TS DR HADAFI FITRI MOHD LATIP
PENSYARAH KANAN
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA