RENCANA

Meeraj boleh sambo

Bazly Azmi 26/06/2019 | 14:29 MYT
"Bro, MOM minta saya wakil negara dalam sambo (Sukan Sea Filipina)".
Saya berfikir sejenak apabila peninju profesional negara, Meeraj Khan mendakwa sedang mempertimbangkan tawaran itu.
Seingat saya Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib pernah mengatakan bahawa kontinjen negara tidak mengambil bahagian dalam lima jenis sukan - antaranya sambo.
Malah, saya menghubungi Nazifuddin untuk pengesahan.
"Benar, Malaysia hanya beraksi dalam 51 jenis sukan. Sambo kita tidak hantar wakil," katanya.
Jadi, siapa yang sedang menjalankan rundingan dengan Meeraj?
Mungkin ini usaha terakhir Persatuan Sambo Malaysia untuk meyakinkan MOM bahawa mereka mempunyai atlit yang berpotensi raih pingat di Filipina.
Malaysia raih satu pingat emas pada Kejohanan Sambo Asia Tenggara di Bandung, Indonesia, minggu lalu.
Ia petanda positif bahawa Malaysia mampu cipta sejarah raih emas sulung dalam acara itu dalam temasya sukan terbesar rantau ini.
Bagi yang kurang arif mengenai sambo, sukan ini gabungan judo dan gusti.
Anda perlu menyerang dan menjatuhkan lawan - elemen yang sedia ada dalam diri Meeraj.
"Mereka panggil saya Lembu Gila. Saya fikir sambo sesuai dengan corak pertarungan saya ketika bertinju".
"Ini satu tawaran yang baik. Mungkin sambo berpeluang ke Sukan Olimpik," katanya.
Meeraj lahir menerusi gabungan tiga sukan seni mempertahankan diri.
Atlit berusia 29 tahun ini pernah menang pingat perak Kejohanan Wushu Asia, beraksi dalam Seni Mempertahankan Diri Campuran dan pemegang tali pinggang kejuaraan Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia.
Seorang atlit yang versatil, saya yakin dia boleh beraksi dalam sambo.
;