Mbappe memang awesome
Hasnizam Uzir
Februari 17, 2022 13:01 MYT
Februari 17, 2022 13:01 MYT
Ketika perang psikologi dimainkan Real Madrid pada Paris Saint Germain dan Kaylie Mbappe tentang spekulasi perpindahannya ke The Blancos itu.
Di mana ia tidak langsung menganggu gugat prestasi dan komitmennya terhadap kelabnya itu. Sebaliknya pemain Perancis berusia 23 tahun itu telah menunjukkan kematangannya sebagai seorang pemain yang sungguh professional sehingga berjaya menghadiahkan kemenangan pertama di pusingan 16 Liga Juara-juara Eropah pada PSG.
Bukan mudah bagi seorang pemain muda seperti Mbappe untuk memisahkan masa depan kerjayanya dengan publisiti yang meluas dimainkan oleh media-media sukan di serata dunia. Dikhabarkan Mbappe akan menerima gaji 50 juta euro semusim dan yuran perpindahan yang mahal ditawarkan The Blancos pada Paris Saint Germain iaitu dengan nilai 200 juta euro dan dengan nilai itu sebenarnya boleh mengganggu gugat pemikiran Mbappe. Namun beliau begitu tenang menangani isu ini.
Persoalannya, bagaimana pemain semuda Mbappe boleh mengawal emosi dan pemikirannya?
Inilah yang perlu dilihat dan pelajari oleh kita semua, baik pemain-pemain professional tempatan, jurulatih-jurulatih tempatan, ibu bapa dan anak-anak yang ingin menjadikan bola sepak sebagai kerjaya mereka pada masa depan. Jadikan kisah Mbappe ini sebagai panduan dan jika kita lihat dari kisah hidup Mbappe ini, dia telah di didik sejak kecil lagi oleh bapanya yang juga merupakan jurulatihnya dan juga ejennya. Di mana Mbappe telah berkongsi kisah pengorbanannya yang besar semasa zaman remaja pada Time,
“Saya tidak mempunyai saat-saat yang boleh di kenang sebagai orang normal semasa remaja, seperti keluar dengan rakan-rakan, menikmati masa yang baik”
Sebaliknya Mbappe terus fokus dan bekerja kuat untuk mengejar impiannya sebagai pemain bola sepak terbaik dunia, sebagaimana idolanya Cristiano Ronaldo dan kini Mbappe boleh merasa gembira dengan apa yang diperolehinya. Inilah sikap yang kurang dimiliki pemain-pemain kita baik ketika remaja atau dewasa di mana mereka kurang di didik dan di bimbing dengan betul dan sudah tiba masanya juga ibu bapa dan jurulatih-jurulatih tempatan perlu merubah minda mereka supaya dapat membentuk individu yang mempunyai kekuatan modal insan selain memberi penerangan tentang kebaikan yang mereka perolehi pada masa depan sekiranya mereka melakukan pengorbanan semasa remaja lagi.
Ini juga dilakukan oleh ramai pemain-pemain ternama dunia sebelum Mbappe lagi seperti idolanya sendiri Ronaldo dan bekas ketua pasukan England David Beckham. Lihatlah kenikmatan dan kegembiraan yang mereka perolehi setelah mengorbankan alam remaja mereka dan hanya focus pada impian yang mereka inginkan. Jadi tidak mustahilah jika pemain-pemain muda kita ini, jika diberikan penerangan dari awal dan di bimbing dengan betul pasti akan membawa sinar kejayaan pada diri mereka sendiri dan bola sepak negara kita khususnya.