Malulah sikit!
Rozaini Ahmad
Disember 9, 2015 07:08 MYT
Disember 9, 2015 07:08 MYT
Saban tahun peningkatan dan kemunculan juara baru di kalangan atlit kelainan upaya negara cukup mengharumkan nama negara bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga sudah ada yang bergelar juara dunia.
Di kota singa empat atlit paralimpik negara dalam acara olahraga pecahkan rekod Asia, manakala enam atlit perbaharui rekod kejohanan. Hebat bukan!
Apa yang terlintas di minda penulis, barisan atlit para dalam acara olahraga ini, sudah cukup "mengajar " atlit normal dalam acara yang sama. Atlit normal olahraga masih terkial- kial cukuplah untuk mengatakan status mereka hanya di peringkat asia tenggara. Lebih daripada itu seperti "umpama mimpi dalam mimpi".
Jadi malulah sikit!!! Bukan sahaja atlit olahraga normal tetapi payung kepada atlit mereka, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). Persoalannya apa kekurangan atau kecacatan dalam atlit olahraga yang normal? Cuba kita renungkan sejenak.
Saya terkesan memetik kata- kata ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan ketika di temubual oleh wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.
" Bukan mudah untuk melatih atlit istimewa ini, kerana perlu jaga emosi, sensitif, perlukan pendekatan kekeluargaan, dorongan yang berterusan selain rejim latihan yang lebih berat kerana untuk menampung kecacatan fizikal seseorang atlit. Tapi yang istimewanya mereka punya semangat yang tinggi untuk mengharumkan nama negara", kata Jeganathan.
Ada yang bertanggapan , senanglah atlit para ada macam- macam kategori untuk satu- satu acara, senang menang pingat. Tetapi jangan lupa, rintangan berganda- ganda yang dihadapi oleh setiap jurulatih atlit istimewa ini dalam membina keyakinan untuk memburu kejayaan.
Jadi cadangan saya, untuk menyedarkan atlit normal ini, pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih- jurulatih olahraga negara , cuba ambil pendekatan. Sedarkan barisan atlit olahraga normal dengan menjadikan atlit para dalam semua jenis sukan sebagai "rakan sparing" atau dari masa ke semasa adakan pertandingan istimewa babitkan kedua-dua atlit ini dalam satu pertandingan "unoffcial".
Tujuannya mudah, beri kesedaran dan jangan rasa "complacent" atau " lemakkan" atlit normal, agar sentiasa berpijak di bumi yang nyata dalam mengejar kecemerlangan. Kerana jika atlit normal berusaha sekali ganda, atlit para perlu berusaha berganda-ganda susahnya.
Jadi malulah sikit kepada atlit paralimpik negara, jangan sampai atlit istimewa ini terlebih dahulu jelmakan emas di peringkat Olimpik barulah atlit normal buka mata.
Sekali lagi syabas dan tahniah kepada kontinjen para negara yang muncul tempat ketiga keseluruhan di peringkat Asia tenggara dengan 52 emas, 27 emas dari sukan olahraga.