RENCANA

Malaysia B-16 mula berputik

Hasnizam Uzir 21/09/2018 | 04:59 MYT
Selepas Pelan Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) dilancarkan pada 2014 oleh Menteri Belia dan Sukan ketika ini, Khairy Jamaluddin, maka bermulalah ‘revolusi’ hala tuju bola sepak negara yang baru berpaksikan pada satu sistem pembangunan akar umbi yang dibukukan mengikut sistem yang telah dibuat.
Tiga pemegang taruh yang memainkan peranan untuk memajukan bola sepak Malaysia bermula di peringkat akar umbi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan.
Program ini dicetuskan oleh Menteri Belia dan Sukan sebelum Khairy, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim, selepas Malaysia menjuarai Piala AFF pada 2010. Objektif program ini diwujukan adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan mencapai matlamat program iaitu layak ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru. Semalam, bermulalah episod baru buat bola sepak negara tatkala anak-anak didik dari PPBN yang ditempatkan di Akademik Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang turun beraksi.
Pertemuan menentang Tajikistan pada perlawanan pembukaan Kejohanan Piala AFC B16 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam menentukan sejauh mana program ini berhasil.
Daripada segi falsafah permainan, penulis boleh nyatakan ia sudah menunjukan sedikit putik yang positif namun masih banyak yang perlu diperbaiki. Setelah memperolehi kemenangan pertama dengan jumlah jaringan yang besar (6-2), ia sudah pasti akan melegakan banyak pihak terutama dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka dalam PPBN ini di peringkat komuniti. Perjalanan masih jauh dan perlu dipantau oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar ia tidak tersasar jauh daripada apa yang dimahukan dalam hala tuju bola sepak negara.
Tahniah kepada pemain-pemain Malaysia B-16 yang telah menunjukan keinginan yang tinggi untuk memajukan diri dan membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.
Teruskan perjuangan dan jangan berpuas hati dengan apa yang dimiliki ketika ini kerana perjalan masih jauh untuk diharungi, namun dalam masa sama terus fokus dalam setiap perlawanan sebelum mengejar impian ke Piala Dunia B-17 2019.
;