Mahu jadi apa sukan Malaysia

Shahrazad Sani
Januari 23, 2019 15:03 MYT
Terpinga dan penuh kebingungan melihat kepada apa yang sedang melanda sukan Malaysia waktu ini.
Baik daripada Bola Sepak ke Olahraga ada sahaja cerita yang menyerlahkan rasa bimbang tidak terhingga.
Pasukan Bola Sepak dalam Liga Malaysia kini dinobat sebagai majikan paling buruk di Asia gara-gara gagal melunaskan tunggakan gaji. Bukan satu atau dua pasukan tetapi berbelas, itu yang kita tahu, yang kita tidak tahu?
Belum lagi sembang soal pengurusan liga.
Mahu jadi apa sukan Malaysia?
Terkini, atlet berani tunjuk perasaan, boikot latihan, letak syarat kepada pentadbir dan penyudahnya mereka dihantar berlatih ke Eropah. Apa agaknya akan berlaku jikalau saya memberontak dengan majikan saya, adakah saya akan dihantar berkelana ke luar negara?
Mahu jadi apa sukan Malaysia?
Atlet juga manusia biasa, ada betul dan ada salah mereka, tetapi penegasan dalam memastikan kelangsungan program sukan negara itu perlu ada. Kalau beberapa atlet sudah berupaya mendapat apa yang mereka mahukan dengan cara ini, sudah pasti akan jadi teladan kepada yang lain.
Mahu jadi apa sukan Malaysia?
Selepas Sukan Olimpik Rio 2016, saya punya harapan menggunung kepada kebangkitan semua sukan Malaysia di pentas dunia. Malah, kehadiran era Malaysia Baru juga buat saya teruja apatah lagi kepimpinan yang diamanahkan menjaga sukan negara jatuh di bahu orang muda.
Tetapi itu sentimen beberapa bulan lalu, waktu ini duduk bertanya pada diri sendiri, siapa sebenarnya yang ikhlas mahu menjaga sukan tanah air.
Mahu jadi apa sukan Malaysia?
Zaman bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David sudah lama meninggalkan kita. Memang kita ada bakat muda seperti Goh Jin Wei dan Juga S.Sivasangari untuk jadi sandaran masa depan.
Itu kalau mereka ditatang dengan baik. Kalau tidak, boleh ucap selamat tinggal kepada adanya lagi atlet No.1 dunia dari Malaysia.
Mahu jadi apa sukan Malaysia?
;