Skip to main content

Rencana

Maguire liabiliti berharga tinggi

maguire-cover.jpg
Harry Maguire nampaknya sedang mengharungi satu musim yang penuh kesukaran. 

Selepas pengalaman pahitnya diberkas polis di Greece, dibolosi oleh Tottenham sebanyak enam kali, kini pemain berusia 27 tahun itu dilayangkan pula kad merah dalam perlawanan menentang Denmark semalam yang berkesudahan dengan kekalahan 1-0 untuk England.

Sepanjang tempoh dia beraksi menentang Denmark, Maguire nampaknya langsung tidak berkeyakinan, seolah-olah hilang arah.

Kesemua ini seolah-olah menandakan yang segala keperitan yang diharungi Maguire telah menampakkan kesannya, menjadikan dia satu beban untuk kedua-dua kelab dan negaranya.

Biarpun begitu, pengurus England, Gareth Southgate, dengan pantas tampil mempertahankan pemainnya.

“Bagi saya, Maguire tetap pemain handalan dan dia tetap memainkan peranan besar dalam pasukan kami. 

“Dia sedang mengharungi satu tempoh yang perit tetapi saya pasti dia cukup matang untuk mengendalikannya. Dia akan berjaya mengharunginya dan akan menjadi lebih kuat lagi,” katanya lagi.



Maguire sememangnya seorang pemain yang kudratnya teramat ditagih oleh kedua-dua kelab dan negaranya.

Tetapi sejujurnya, dia memerlukan tempoh untuk berehat seketika buat waktu ini.

Menurut akhbar Daily Mail, Maguire kelihatan agak sukar untuk mengawal Romelu Lukaku dalam perlawanan menentang Belgium, Ahad lalu.

Ciri-ciri semulajadi yang seharusnya ada pada seorang pemain pertahanan tengah berkelas dunia hanya samar-samar kelihatan. 

Tidak dapat dinafikan yang peranan Maguire tersangat penting buat United dan England, dia juga dilabelkan sebagai pemain dengan berharga mahal.

Namun, jika persembahannya berterusan merudum, tidak mungkin dia akan terus dikekalkan dalam pasukan, tidak kira bagaimana tinggi pun statusnya.

Apatah lagi, peminat United sendiri kini sudah mula menunjukkan rasa kurang puas hati mereka terhadap Maguire.

Menurut akhbar The Sun, ada segelintir peminat United yang berseloroh dalam ciapan, “Boleh tak Maguire digantung perlawanan untuk United juga?” 

Pastinya tidak mudah bagi Maguire untuk menseimbangkan di antara kelab, negara dan masa untuk bersendiri. 

Ini kerana dalam tempoh getir yang sedang United harungi ketika ini, mereka memerlukan pejuang seperti Maguire bagi memimpin pasukan.

Tidak kira apa pun, Maguire memerlukan sokongan dan simpati pada kadar yang lebih tinggi buat waktu ini, satu tempoh untuk memulihkan diri sebelum kembali dengan lebih gagah bagi membuktikan dia layak digelar antara pemain pertahanan terbaik dunia.

Advertisement

Must Watch Video