Skip to main content

Rencana

Macam ada krisis dalaman!

selangor-berhak-terajui-liga-super.jpg
Skuad The Red Giants tewas lagi dan kali ini mereka tumbang di tangan pasukan T-team untuk aksi saingan Liga Super 2016.

Selepas mengharungi jadual padat dan kehilangan tonggak pertahanan utama yang berhijrah ke pasukan lain, anak-anak buah Zainal Abidin Hassan dilihat bergelut untuk terus memberi saingan bagi merebut takhta Liga Super dan juga mengejar kedudukan terbaik dalam Kumpulan C Piala Malaysia.

Mengharungi lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan adalah sesuatu luar biasa buat Gergasi Merah Kuning yang dibarisi pemain ternama di setiap posisi. Tersingkir awal di saingan Piala FA, begitu juga untuk aksi Piala AFC, ditambah pula sudah ketinggalan jauh untuk mengejar pendahulu liga, skuad Selangor hanya mempunyai peluang di dalam Piala Malaysia dan mereka perlu segera mempertahankan kejuaraan musim lalu untuk sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan tentang prestasi hambar musim ini.

Skuad Selangor bermula dengan sangat baik di awal saingan liga, namun mereka gagal mempamerkan kualiti sebenar apabila saingan domestik bermula semula selepas Hari Raya Aidilfitri dan perkara ini diakui sendiri oleh Zainal. Kemasukan pertahanan baru dari Nigeria, Ugochukwu Ukah juga dilihat gagal menambah baik prestasi Selangor di benteng pertahanan.

Jika perkara ini berlanjutan, mungkin kredibiliti dan kedudukan Zainal selaku ketua jurulatih akan dipersoalkan oleh peminat Red Giants yang dilihat sudah hilang sabar menyaksikan persembahan bersahaja para pemain Selangor. Jentera serangan juga dilihat semakin tumpul dengan tiada jaringan dapat dihasilkan dalam dua perlawanan terkhir mereka.

Jika kemelut kekalahan ini berterusan, pihak yang bertangungjawab perlu segera mengambil tindakan drastik serta merta bagi menyelesaikan masalah yang melanda kem Merah Kuning ini. Namun persoalannya kini, betul ke ada krisis dalaman?

Advertisement

Must Watch Video