Skip to main content

Rencana

Los Blancos kini kelompok 'elit'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cover.jpg
Real Madrid benar-benar dimalukan Atletico Madrid dalam aksi pramusim di Amerika Syarikat semalam selepas dibelasah 7-3 tatkala skuad kendalian Zinedine Zidane itu ketinggalan 5-0 dalam babak pertama.

Meskipun berbelanja besar membawa masuk beberapa pemain seperti Eden Hazard, Luka Jovic, Eder Militao, Rodrygo Goes dan Ferland Mendy, ternyata Los Blancos berdepan tugas besar sebelum melakukan sepak mula LaLiga musim 2019-20.

Nama Diego Costa semestinya akan diingati segenap peminat Real Madrid selepas bekas penggempur Chelsea itu meledak empat gol sebelum dilayangkan kad merah selepas insiden pergaduhan dengan Dani Carvajal.



Namun, kekalahan besar Real Madrid itu bukan sesuatu yang asing buat pasukan elit Eropah, termasuk di peringkat antarabangsa. Berikut adalah beberapa pertemuan yang berakhir dengan jaringan besar.

AS MONACO 8 DEPORTIVO LA CORUNA 3
5 November 2003

Hampir 15 tahun lalu, Monaco kendalian Didier Deschamps ketika itu mencipta kejutan apabila mara ke final Liga Juara-Juara Eropah musim 2003-04 sebelum tewas 3-0 di tangan Porto. Namun, mereka yang diperkuatkan oleh Patrice Evra, Jerome Rothen dan kapten, Ludovic Giuly, terlebih dahulu memberi bayangan selaku pencabar utama musim tersebut selepas membelasah Deportivo 8-3 di laman sendiri ketika saingan peringkat kumpulan. Penggempur dari Croatia, Dado Prso, pastinya menikmati aksi di Stade Louis II selepas menyumbat empat gol.



LIVERPOOL 8 BESIKTAS 0
6 November 2007

Liga Juara-Juara sekali lagi menampilkan kejutan dengan jaringan besar, kali ini menerusi Liverpool. Dalam Kumpulan A, The Reds diundi bersama Besiktas, Porto dan Marseille tetapi wakil dari Turki itu menerima nasib malang dalam perlawanan keempat apabila dimalukan 8-0. Pemain kelahiran Israel, Yossi Benayoun, mencatat hatrik sambil pesta gol di Anfield itu ditamatkan dengan jaringan daripada pemain yang baru mengumumkan persaraan 12 Julai lalu, Peter Crouch. Bagaimanapun, cabaran Liverpool pada musim tersebut terkandas dalam separuh akhir selepas tunduk di tangan Chelsea.

PSV EINDHOVEN 10 FEYENOORD 0
24 Oktober 2010

Nama Philipsstadion pastinya terpahat dalam sejarah PSV susulan kejayaan yang dilakukan sembilan tahun lalu. Malah, pengendali Feyenoord ketika itu, Mario Been, menyifatkan keputusan 10-0 itu sebagai 'catatan hitam dalam sejarah kelab' tatkala The Rotterdammers bergelut dengan zon penyingkiran. Hanya dua gol disaksikan dalam babak pertama tetapi segalanya menjadi mimpi ngeri buat pelawat sebaik sahaja perlawanan bersambung. Feyenoord menamatkan musim tersebut di tangga ke-10 liga sambil PSV menduduki tempat ketiga di belakang FC Twente dan juara, Ajax.



MANCHESTER UNITED 8 ARSENAL 2
28 Ogos 2011

Musim 2011-12 mungkin perit untuk diterima The Red Devils selepas mereka membenarkan seteru setempat, Manchester City, mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama dalam sejarah pada hari terakhir saingan. Namun, sekurang-kurangnya keputusan di Old Trafford pada awal musim dapat dijadikan modal untuk mereka membuatkan penyokong tersenyum. Ada beberapa insiden menarik seperti Carl Jenkinson dilayangkan kad merah, Wayne Rooney mencipta hatrik dan Robin Van Persie gagal menyempurnakan sepakan penalti. Apa yang menarik, Sir Alex Ferguson hanya mempertaruhkan Tom Cleverley dan Anderson di bahagian tengah untuk mengekang asakan daripada Van Persie, Tomas Rosicky, Andrey Arshavin dan Theo Walcott.

BRAZIL 1 JERMAN 7
9 Julai 2014

Brazil membawa cabaran Piala Dunia 2014 dengan harapan tinggi menggunung, mahu menjulang trofi keramat di depan penyokong sendiri. Segalanya berjalan lancar buat Selecao di Mineirao sehingga Thomas Muller membuka tirai jaringan pada minit ke-11 dan diikuti dengan enam lagi gol oleh skuad bimbingan Joachim Low itu. Aksi itu diingati dengan nama Mineirazo yang bermaksud "Tragedi Mineirao" kerana kekalahan 7-1 yang dialami mengingatkan kepada insiden tewas di tangan Uruguay dalam Piala Dunia 1950, juga di Brazil. Jerman melangkah ke final dan bergelar juara dunia sementara Brazil sekadar di tempat keempat setelah tewas 3-0 di tangan Belanda dalam aksi penentuan tempat ketiga. 

Advertisement

Must Watch Video