Lilian Tan 'badang' wanita Malaysia
Sharon Wee
Disember 4, 2016 10:20 MYT
Disember 4, 2016 10:20 MYT
Otot Lilian Tan membawa kepada kejuaraan dunia buat kali ketiga.
Ramai yang terpegun melihat otot atlet bina badan wanita Malaysia, Lilian Tan.
Atlet kelahiran Pulau Pinang ini pada awal umur 20-an ingin menjadi seorang model fesyen, namun pada satu hari istimewa itu apabila dia menjejak kaki ke dalam gimnasium, Lilian yang kini berusia 43 tahun jatuh cinta kepada sukan bina badan.
Sukan yang memerlukan rejim pemakanan yang ketat dan displin tinggi ini jarang-jarang disertai oleh kaum wanita Malaysia.
Bagi Lilian, sukan bina badan banyak mengajar dia mengenali diri sendiri dan tentang kehidupan.
Baru-baru ini, Lilian dinobatkan sebagai pemenang pingat emas di World Bodybuilding and Physique Sports Championships di Pattaya, Thailand.
Ini adalah kejuaraan dunia ketiga selepas muncul juara pada 2012 di Bangkok dan 2014 di Mumbai.
Perjalanan untuk mencapai kejayaan di Pattaya tidak mudah, setelah empat minggu sebelum kejohanan Lilian mendapati dia melakukan kesilapan dalam perancangan program pemakanan yang mempengaruhi pertumbuhan dan persiapan otot untuk memberi yang terbaik di kejohanan dunia itu.
Jurulatih kecergasan itu mengaku pada masa itu dia amat kecewa dan ingin menarik diri, namun dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan dia menukar fikiran lalu memberi fokus kepada program latihan dan pemakanan yang baru.
Atlet bina badan nombor satu negara itu bersyukur dapat memberi yang terbaik dan ingin memberi inspirasi kepada kaum wanita Malaysia supaya menjinakkan diri dalam acara bina badan tanpa perlu risau dan malu dengan persepsi masyarakat tentang wanita yang terlampau berotot.
"Saya masih seorang wanita yang seksi dan bersopan-santun. Saya masih yakin dengan kecantikan diri sendiri walaupun mungkin saya lebih berotot daripada kebanyakan lelaki”, kata Lilian dengan bangga.