Skip to main content

Rencana

Liaoning tetap pencabar utama

img_2521.jpg
Liaoning Infinite Space Hockey Club (LISHC) tidak mengambil masa lama untuk memperkenalkan ‘jenama’ mereka dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2019.

Skuad jemputan dari China ini sudah berjaya merekodkan tiga kemenangan daripada empat perlawanan setakat ini termasuk menewaskan juara bertahan liga, PKS Uniten 2-0 baru-baru ini.

Walaupun mereka tewas 2-4 kepada Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), namun mereka masih tetap dianggap pencabar utama untuk merebut kejuaraan musim ini.

Saya tertarik dengan prestasi pasukan kendalian Gao Lihua ini kerana berani membawa 16 pemain di bawah usia 19 tahun dalam penampilan pertama mereka di luar negara atau lebih spesifiknya Malaysia.

Bagaimanapun, LISHC diperkuatkan dengan seorang pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan China pada Piala Dunia 2018 di London tahun lalu iaitu Chen Yang.

Turut menggalas cabaran LISHC ialah seorang tonggak daripada skuad Sukan Olimpik 2016, Yu Qian dan beberapa bekas pemain kebangsaan mereka seperti penjaga gol, Guo Jia Jia, Wang Libin serta Wang Feixue bagi memberi keseimbangan kepada pasukan ini.

Matlamat utama pasukan ini ialah mahu membawa pulang gelaran juara ke negara China dan ia terbukti mereka benar-benar serius dengan kemenangan ke atas PKS Uniten yang mempunyai lapan pemain kebangsaan kita.

Kemenangan itu juga sebenarnya telah meleburkan rekod kebal PKS Uniten dalam saingan liga sejak musim lalu (12 perlawanan LHWM 2018) dan kali terakhir skuad bimbingan Lailin Abu Hassan ini tewas ketika edisi LHWM dua tahun lalu.

Saya melihat penyertaan LISHC sebenarnya secara tidak langsung melonjakkan kualiti liga tempatan terutama dalam arena hoki wanita kerana setiap pasukan pastinya tidak rela tewas di tangan pasukan jemputan dari China.

Apatah lagi sanggup melihat mahkota kejuaraan liga atau gelaran juara keseluruhan (Piala Vivian May Soars) dibawa keluar dari Malaysia.

Saya difahamkan perbincangan untuk menjemput LISHC beraksi dalam saingan liga hoki tempatan telah dilakukan sejak tahun lalu dan turut berminat membawa pasukan lelaki beraksi dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) tahun ini tetapi tidak menjadi kenyataan atas sebab-sebab tertentu.

Namun, saya mengharapkan pasukan hoki LISHC dapat menyertai LHM 2020 kerana ia menambah nilai dalam saingan liga hoki tanah air dan mungkin dari segi komersialnya, ia dapat dibawa secara langsung ke negara China.

Advertisement

Must Watch Video