Legasi Mokhtar Dahari usah dilenyapkan

Shaukei Kahar
Disember 21, 2016 16:14 MYT
Datuk Mokhtar Dahari, ketika hayatnya, menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada bola sepak dan pasukan Selangor.
Namun, 25 tahun selepas kepulangannya ke Rahmatullah pada 11 Julai 1991, warisan kegemilangan yang ditinggalkan Allahyarham seakan-akan mahu dileburkan begitu saja hanya kerana krisis dalaman dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
FAS mengancam untuk menarik diri daripada Liga Malaysia musim depan jika biaya RM15 juta yang diperlukan – sebahagian besarnya diharapkan daripada suntikan dana kerajaan negeri – tidak diperoleh sebelum sepak mula musim baru.
Andainya Mokhtar Dahari masih ada – beliau akan berusia 63 tahun – Allahyarham harus akan berasakan segala pengorbanan dan kejayaan yang diwariskannya, seakan-akan tidak langsung dihargai.
Untuk berpindah pasukan sekalipun, Allahyarham bersumpah tidak akan lakukan, apatah lagi untuk merelakan nama Selangor terpadam daripada senarai pasukan yang bertanding dalam kancah bola sepak negara.
Dalam dokumentari bertajuk ‘The Untold Truth About Supermokh’ yang ke udara menerusi saluran National Geographic pada 30 Ogos 2010, isteri Allahyarham, Tengku Zarina Ibrahim, berkongsi pencerahan dengan penonton:
“Saya pernah mengusiknya mengenai kemungkinan bermain untuk negeri lain kerana ada yang menawarkan tawaran lumayan, arwah merenung tajam kepada saya dan berkata: ‘Hidup dan mati saya untuk Selangor.’ Jiwa raganya hanya untuk Selangor dan habuan wang ringgit bukanlah pendorong utama untuknya.
“Malah, sejujurnya habuan wang ringgit tidak pernah menjadi motivasi buat Allahyarham yang selalu berkongsi dengan saya: ‘Bola sepak sentiasa ada dalam darah dan roh saya. Saya akan hidup dan mati dengan bola sepak.’”
Buat Selangor, Mokhtar Dahari menghadiahkan 10 kejuaraan Piala Malaysia di antara 1972-1987 dengan sumbangan 177 gol daripada 375 penampilan hingga persaraannya pada 1986 menyaksikan Allahyarham kembali semusim lagi pada 1987 ketika skuad negeri itu sedang bergelut tanpanya.
Barangkali ada yang membandingkan zaman semi-pro Mokhtar dan era Liga Super kini sama-sekali berbeza, dengan wang ringgit dan biaya besar ketika bola sepak semakin mahal tidak menaruh sebarang belas ihsan kepada pasukan yang miskin dana.
Tapi kepada Mokhtar, kesungguhan memburu kegemilangan untuk pasukan Selangor dan memberi kegembiraan kepada penyokong adalah segala-galanya.
Tengku Zarina meneruskan penceritaannya:
“Saya masih ingat sehari menjelang satu perlawanan akhir, Mokhtar mengalami demam panas. Saya membawa Mokhtar ke hospital di mana doktor mahu menahannya di wad. Tapi mengenali Mokhtar, dan keesokannya adalah perlawanan dengan Singapura, dia enggan tinggal di hospital. Sekalipun dengan demamnya, dia tetap turun bermain dan turut menjaringkan satu gol.
“Pernah dalam satu perlawanan separuh akhir yang Selangor kalah, Mokhtar menangis dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia memberitahu dia kasihankan penyokong Selangor yang mengharapkan kemenangan. Dia benar-benar terharu penyokong sanggup berbasah-kuyup dalam hujan lebat sedangkan pasukan Selangor menghampakan mereka.
“Ada juga dia memberitahu saya yang dia teruja melihat penyokong Selangor gembira meraikannya setiap kali dia menjaringkan gol. Penyokong meraikan golnya dan mereka meraikannya bersama-sama – itulah kegembiraan yang sentiasa dicari-carinya.”
Ketika FAS kini berura-ura untuk menarik diri musim depan, harus wajar untuk barisan kepemimpinannya menimbang dan merenungkan apakah mereka – seperti Mokhtar --mampu memberi kegembiraan kepada penyokong Selangor.
Apakah juga mereka merelakan legasi kegemilangan yang ditinggalkan Allahyarham Mokhtar Dahari dibiarkan lenyap 25 tahun selepas persemadiannya?
;