Kontinjen Sukma 2024 cakna kepentingan sains sukan
Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Ogos 22, 2024 08:15 MYT
Ogos 22, 2024 08:15 MYT
Sains sukan merujuk kepada bidang kajian yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu untuk memahami dan mengoptimumkan prestasi atlet dalam sukan.
Ia melibatkan penggunaan prinsip dari bidang seperti anatomi, fisiologi, biomekanik, psikologi, pemakanan, dan perubatan sukan untuk menganalisis dan meningkatkan aspek fizikal, mental, teknikal dan taktikal atlet. Tujuan utama sains sukan adalah untuk meningkatkan prestasi sukan secara keseluruhan sambil menjaga kecergasan, kesihatan dan kesejahteraan atlet.
Fisiologi sukan mengkaji bagaimana tubuh atlet bertindak balas terhadap latihan dan pertandingan.
Dengan analisis fisiologi, program latihan yang disesuaikan dapat dirancang untuk memastikan atlet berada pada tahap kecergasan optimum. Sebagai contoh jenis fibre otot manusia mempengaruhi jenis sukan yang diceburi.
Biomekanik pula membantu menganalisis pergerakan tubuh untuk mengenal pasti teknik yang paling efisien dan mengurangkan risiko kecederaan, yang akhirnya meningkatkan prestasi dalam pertandingan.Teknik yang berkesan mempengaruhi keputusan perlawanan.
Aspek mental juga penting dalam prestasi atlet, dan di sinilah psikologi sukan memainkan peranan utama. Teknik seperti imageri, visualisasi, pernafasan, positif self talk, pengurusan tekanan, dan pembinaan motivasi membantu atlet mencapai prestasi puncak dalam situasi tekanan tinggi. Tahap kebimbangan atlet boleh diatasi melalui kaedah psikologi sukan.
Pemakanan sukan pula memastikan diet yang disesuaikan dengan keperluan individu, membekalkan tenaga yang mencukupi dan mempercepat pemulihan selepas latihan atau pertandingan, yang penting untuk mengekalkan prestasi konsisten.
Perubatan sukan dan rehabilitasi sukan juga memainkan peranan kritikal dalam pencegahan dan rawatan kecederaan. Dengan pendekatan yang sistematik, atlet dapat kembali beraksi secepat mungkin dan mengurangkan risiko kecederaan berulang seperti aplikasi urutan sukan, trigger point, bekam, akupuntur, dry needling dan lain lain.
Analitik data sukan turut memberi kelebihan tambahan dengan membolehkan jurulatih menganalisis prestasi secara kuantitatif dan merancang strategi yang lebih berkesan untuk perlawanan. Melalui kaedah-kaedah ini, sains sukan membantu memastikan atlet berada dalam keadaan fizikal dan mental terbaik untuk menghadapi cabaran dalam pertandingan sukan.
Penerapan sains sukan sangat penting dalam meningkatkan prestasi dan kesejahteraan atlet.
Penggunaan teknologi seperti GPS, alat pengukur biomekanik, dan analisis video membolehkan jurulatih memantau prestasi atlet secara efektif.
Selain itu, sains sukan juga berperanan dalam mempercepat pemulihan selepas kecederaan melalui pendekatan moden seperti fisioterapi (ultrasound) dan cryotherapy, serta membantu merancang diet yang sesuai seperti carbo-loading untuk memastikan atlet mendapat nutrisi yang mencukupi untuk bermain pada esok hari.
Kontinjen sukan perlu cakna terhadap perkembangan terbaru sains sukan seperti aplikasi teknologi sukan untuk memastikan prestasi pasukan yang konsisten. Pada masa kini, teknologi moden dapat membantu jurulatih membuat keputusan yang berkesan.
Dengan memahami dan mengaplikasikan sains sukan, kontinjen dapat mengasah bakat atlet dari peringkat awal dan menyediakan program pembangunan yang sesuai.
Ini bukan sahaja meningkatkan prestasi, tetapi juga menjaga kesejahteraan atlet, memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik dari segi fizikal dan mental sepanjang masa.
Institut Sukan Negara (ISN) adalah pusat kecemerlangan sukan di Malaysia yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam sains sukan, termasuk teknologi sukan. ISN mempunyai pakar-pakar yang boleh memberikan analisis dan rujukan yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi atlet.
Selain itu, pusat-pusat penyelidikan sains sukan iaitu pusat satelit ISN di universiti seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) turut menjalankan penyelidikan dan menyediakan perkhidmatan konsultasi dalam pelbagai aspek sains sukan.
Majlis Sukan Negara (MSN) juga turut menyediakan perkhidmatan sains sukan untuk kontinjen kebangsaan, termasuk penganalisis prestasi, fisiologi sukan, dan psikologi sukan.
Mereka bekerjasama rapat dengan ISN dalam menyediakan sokongan sains sukan kepada atlet Malaysia, memastikan setiap aspek prestasi atlet dioptimumkan untuk mencapai kejayaan dalam pertandingan.
Aplikasi sains sukan jelas telah di aplikasi semasa SUKMA SARAWAK 2024, ia adalah merupakan satu petanda baik di mana pengetahuan dan pemahaman sains sukan mula tersebar luas secara menyeluruh.
Hanya tinggal menjiwai konsep sains sukan dalam latihan dan pertandingan sukan untuk mencapai kejayaan bersama. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka, KERANA TUHAN UNTUK MANUSIA.
PENULIS:
TS DR HADAFI FITRI MOHD LATIP,
PENSYARAH SAINS SUKAN,
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA.