Skip to main content

Rencana

Kevin Owens sudah muak, turuti langkah Stone Cold

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wwe-kevin-owens_1.jpg
Jika anda seorang peminat gusti dan mengikuti perkembangan WWE sejak beberapa dekad lalu, pastinya anda masih ingat babak di mana bintang lagenda sepanjang zaman Stone Cold Steve Austin menjadi seorang bintang yang gemar memberontak, hanya mengikut kepala sendiri dan lebih parah, melawan serta bersengketa dengan majikannya sendiri iaitu pemilik WWE, Vince McMahon.

Tidak cukup dengan gerakan penyudah maut iaitu Stunner dan kemusnahan harta benda milik majikannya, Vince ibarat budak belasahan dan sering menjadi tempat Austin melepas geram walaupun pelbagai tindakan telah diambil. Sikap enggan tunduk kepada pihak atasan serta anti hero inilah telah menjulang nama Austin sehingga berjaya bergelar Juara Dunia WWE sebanyak 6 kali.



Seakan meneladani apa yang telah dilakukan  oleh lagenda Hall of Fame WWE itu, Kevin Owens pula dilihat cuba mengulang kembali era konfrontasi di antara majikan dan pekerja. Namun kali ini anak lelaki tunggal Vince iaitu Shane McMahon pula adalah sasarannya dan ia dilihat satu langkah yang berani oleh Owens dalam usaha menjadikan dirinya kembali relevan di kalangan WWE Universe.

Di acara WWE Smackdown Live minggu ini, bekas Juara Universal WWE itu tidak boleh menahan rasa jengkelnya lagi terhadap Shane. Setelah dihalang daripada masuk ke arena akibat pergelutan dengan Dolph Ziggler di kawasan parkir kereta, Shane turut membatalkan perlawanan di antara Owens dan Ziggler yang sepatutnya menjadi perlawanan kemuncak di episod minggu ini.

Owens yang diarahkan pulang bertindak menceroboh arena sebelum tirai acara rasmi bermula. Dengan penuh emosi, Owens menggunakan mikrofon yang ada untuk meluahkan semua yang terbuku di dalam dadanya terhadap Shane selama ini.

Ujar Owens, dirinya telah puas menjadi pak turut dan melakukan apa sahaja yang dikehendaki WWE selama ini. Tiada sebarang manfaat yang diperoleh dan saban minggu, hanya Shane sahaja yang diberi peluang untuk muncul di TV dengan mendabik dada mendakwa dirinya sebagai Best In The World, walau pada hakikatnya tiada siapa yang sudi untuk menonton segmen anak lelaki Vince McMahon itu.

“Setiap minggu, saya terpaksa menadah telinga mendengar Shane dengan kempen Best In The World nya itu, dan setiap kali itulah saya naik muak dengannya. Rasa seperti nak hantuk kepala sendiri di atas meja kerana terlalu meluat,” tambah Owens.

Shane yang muncul tidak lama kemudian bertindak memadamkan mikrofon yang digunakan Owens. Namun ia tidak menjadi penghalang apabila bintang kelahiran Kanada itu mengambil satu lagi mikrofon yang tersedia.

“Setiap kali Shane mendakwa dirinya Best In The World, ia ibarat satu tamparan penghinaan buat bintang-bintang lain yang selama ini membanting tulang dan mengerah keringat setiap minggu di TV dan menjelajah menghiburkan peminat ke seluruh dunia.”

Owens turut menegaskan yang monopoli Shane ke atas program-program TV WWE sejak kebelakangan ini yang semakin menjadi-jadi telah mencuri peluang bintang lain seperti Apollo Crews, Buddy Murphy, Ali, Liv Morgan, Asuka, AOP, Kairi Sane dan ramai lagi. Ucapan Owens kemudian berakhir apabila dirinya lari di celah-celah penonton apabila Shane mengarahkan pegawai keselamatan untuk memberkasnya. Dalam masa yang sama, para penonton di arena memberikan tepukan gemuruh seakan mengiyakan apa yang dikatakan Owens terhadap Shane.

Ketika perlawanan kemuncak di antara Dolph Ziggler dan Roman Reigns yang menggantikan tempat Owens berlangsung, sekali lagi bintang bertubuh gempal ini muncul dan menghadiahkan gerakan penyudah yang dipopularkan oleh Stone Cold Steve Austin iaitu Stunner terhadap Shane.

Tindakan Owens ini telah mendapat perhatian beberapa bintang WWE. Ali, Liv Morgan dan Buddy Murphy melalui ciapan di Twitter telah memuji Owens atas keberaniannya untuk meluahkan apa yang terpendam selama ini. Malah klip video pendek Stunner Owens terhadap Shane juga telah diciap kembali oleh Steve Austin menandakan bersetujunya lagenda itu terhadap Owens dalam erti kata melawan majikan yang bertindak sesuka hati.
 
Sengketa terbaharu di antara Owens dan Shane ini pastinya mengimbau semula pertelagahan mereka pada tahun 2017. Bezanya kali ini, keduanya berubah kedudukan di mana Shane di pihak yang dibenci manakala Owens pula bakal menyinar sebagai bintang suka ramai.

Dijangka konfrontasi ini akan semakin hangat dari minggu ke minggu dan tidak mustahil, Owens dan Shane akan kembali dipertemukan dalam gelanggang bagi menyelesaikan masalah mereka secara anak jantan di acara tahunan kedua terbesar WWE iaitu Summerslam bulan hadapan.

Untuk aksi penuh, tontoni acara WWE Smackdown Live melalui Astro Supersport 4 saluran 817/834 pada jam 10.00 malam ini.
 
(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Extreme Rules pada 15 Julai dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video