Skip to main content

Rencana

Kerana mulut ejen, Pogba binasa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pogba-cover-pix.jpg
Misi ‘wajib menang’ Manchester United dalam Liga Juara-Juara dikatakan gagal gara-gara satu kenyataan pedas daripada ejen pemain pembelian termahal mereka, Paul Pogba.

“Pogba tidak gembira di United dan dia wajib berpindah kelab pada bulan Januari (ini)!” 

Begitulah komen Mino Raiola, ejen yang mewakili Pogba, pada malam sebelum United menentang RB Leipzig yang berkesudahan dengan kekalahan 3-2, sekali gus memusnahkan harapan mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

Gara-garanya juga, United kini akan meneruskan saingan di peringkat 32 Liga Europa.

Kekecohan akibat kata-kata Raiola itu dikhabarkan memaksa pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, untuk mengubah barisan pemainnya pada saat terakhir dan ternyata Pogba tidak disenaraikan antara 11 pemain yang memulakan perlawanan.

United dan Raiola sememangnya sudah lama tidak sebulu, sehinggakan bekas pengurus, Alex Ferguson, pernah menghamburkan kata-kata kesat terhadap ejen tersebut.

Dalam autobiografi Ferguson, dia dipetik sebagai berkata, “Saya memang tidak suka dengan Raiola sejak kali pertama saya bertemu dengannya. 

“Dulu, sewaktu Pogba masih lagi berusia 18 tahun, kami berminat untuk menyambung kontraknya bersama kami kerana kami tahu dia adalah pemain yang sangat berbakat. 

“Tapi Raiola tiba-tiba masuk campur, menjadikan segalanya huru-hara dan akhirnya dia berjaya memujuk Pogba untuk berpindah ke Juventus.”

Selepas Ferguson bersara, United nampaknya berjaya memperbaiki hubungan dengan Raiola dan ejen tersebut membantu untuk mengembalikan Pogba ke pangkuan United, bersama-sama dengan Zlatan Ibrahimovic dan Henrik Mkhitaryan yang turut diwakilinya.

Namun, hubungan itu ternyata sudah retak semula dengan lebih teruk kali ini dan United yang harus menanggung seksanya.

Ibrahimovic dan Mkhitaryan sudah lama dijual, dan nampaknya Pogba bakal menyusul.



Malangnya, akibat pandemik COVID-19 yang menghauskan kewangan kelab-kelab seantero dunia, hampir mustahil bagi United untuk menjual Pogba dengan harga lebih tinggi daripada £89 juta (RM439 juta) yang mereka bayar untuk membelinya daripada Juventus.

Menurut akhbar The Sun, harga yang realistik untuk Pogba ketika ini sekadar £50 juta (RM250 juta), satu kerugian yang teramat besar kerana Pogba baru berusia 27 tahun dan sedang berada dalam keadaan fizikal terbaik.

Sikap kurang ajar Raiola digabungkan dengan pendirian Pogba untuk sekadar mengunci mulut telah membuatkan United menyesal kerana memecat Jose Mourinho dua tahun lalu.

Kemelut yang melanda United sewaktu di bawah kendalian ‘Si Istimewa’ dikatakan akibat perbalahan berterusan Pogba dengan pengurus tersebut sehinggakan pemain itu gagal menunjukkan potensi sebenarnya sepanjang musim.

Namun, dalam keadaan sekarang, United seharusnya bertanya kepada diri mereka sendiri, mungkinkah punca masalah yang sebenarnya bukanlah Mourinho, bukan juga akibat faktor-faktor lain tetapi Pogba sendiri?

Ia cukup menghairankan mengapa Pogba yang begitu cemerlang sewaktu bersama Juventus dahulu, cukup mantap sewaktu memenangi Piala Dunia bersama Perancis, tetapi bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama ketika ini.

Mungkin jalan penyelesaian terbaik adalah dengan kedua-dua pihak mengambil haluan sendiri, tetapi apa yang pasti, pihak yang rugi bukanlah pihak Pogba.

Sekadar kata pengakhiran, dalam setiap urusan jual beli pemain yang diwakilinya, Raiola akan mendapat habuan daripada segi komisyen.

Menurut laman sesawang Forbes, jumlah komisyen yang diraih Raiola sepanjang tahun 2019 adalah setinggi $70.3 juta (RM284 juta) dan sewaktu Pogba dibeli oleh United pada tahun 2016, Raiola dibayar sebanyak £50 juta (RM197 juta).

Advertisement

Must Watch Video