RENCANA
Kenangan Kuala Lumpur 2017
Meraikan kejayaan kontinjen Malaysia melepasi sasaran 111 pingat emas lebih awal tidak langsung merencatkan upacara penutup Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung 2 hari kemudian iaitu diambang kemerdekaan ke-60, malah cuti panjang yang bersambung pula dengan Hari Raya Aidiladha masih menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil penuh, bermaksud 90,000 penonton hadir sebagai saksi obor dipadamkan, simbolik penyerahan kuasa penganjuran kepada Filipina pada 2019 nanti.
Pengikut setia Astro Arena pastinya sudah dapat mengetahui pelbagai perkembangan terkini berkaitan penganjuran temasya dwitahun ini, sehinggalah isu-isu berkaitan atlit dan prestasi mereka di Nadi Arena serta laman web dan sosial kami. Jadi, apa kata saya kongsikan kenangan di sebalik penglibatan kali pertama saya dalam "multi event" ini.
Liputan Harian Sukan SEA pada 16 Ogos menyaksikan saya selaku penyampai yang siap sedia di Stadium Tertutup Titiwangsa membawakan khabar skuad chinlone negara hampir pasti merangkul emas pertama KL 2017. Tahukah anda keputusan untuk melakukan ulasan secara langsung ketika itu, saya terima kira-kira 30 saat sebelum ianya mula ke udara. Namun dua abang saya di Astro Arena, Hafizal Hamad dan Akbar Sahari sempat menitipkan kata-kata semangat "tenang saja su, su boleh buat" dan "you can do it, chaiyok"
Tugasan paling berat bagi saya adalah mengendalikan acara olahraga. Acara yang berlangsung lebih kurang masanya, di beberapa kawasan di dalam stadium yang luas, papan markah yang sukar dilihat, dan tiada bantuan maklumat dari laman web mungkin sekadar alasan bagi saya yang tidak berpengalaman. Saya bersyukur adanya Mr Wikipedia, Rizal Hashim yang langsung tidak lokek berkongsi pengetahuannya. Dia kata kami sama-sama memerlukan. Saya biasa dihadapan kamera tetapi dia lebih hebat dari pepatah moden "segalanya dihujung jari" tau.
Temasya ini bukan sahaja berjaya dari segi melepasi sasaran pingat emas tetapi penerapan nilai-nilai murni yang cukup menarik menerusi konsep satu pokok satu pingat. Dalam masa sama, kita mendidik pengunjung yang hadir ke venue sukan untuk lebih bijak mengasingkan sisa pepejal dan kebanyakan mereka yang turun padang merupakan sukarelawan. Anda juga pastinya perasan, banyak sekali basikal-basikal yang boleh digunakan. Yang pasti, ia tidak mencemarkan alam sekitar, bukan.
Dalam memastikan kelancaran dalam 404 acara yang dipertandingkan kali ini, kita mendapat bantuan 13,000 sukarelawan yang berkampung sejak 4 Ogos lalu. Ada di antara mereka yang datang dari Sabah dan Sarawak dengan tambang sendiri. Sempat saya bertanya kenapa nak jadi sukarelawan, "Ini sahaja cara saya nak jadi sebahagian daripada sejarah negara kak. Nak jadi atlit tak dapat" dan gadis berusia 26 tahun ini telah membelanjakan kira-kira 5,000 ringgit untuk tiket penerbangan, tempat tinggal dan kos pengangkutan di sini.
Sepanjang bertugas, saya mendapat peluang menemubual ramai atlit tetapi kenangan bersama Grace Wong, atlit muda berusia 17 tahun dari Sarawak sejurus selepas dia memenangi pingat emas pastinya punya tempat istimewa dalam kotak ingatan saya. Terkenal sebagai seorang yang "macam tidak ada perasaan" di kalangan rakan-rakan, saya sendiri terkejut apabila air mata bergenang ketika menerima respon Grace mengenai ibunya yang sudah meninggal dunia. Grace memang seorang anak yang baik dan video temubual itu juga dikatakan viral di Sarawak. Kamek sayang kitak.
Di penghujung temasya, saya menerima panggilan telefon dari bos, Ahmad Khawari Isa, untuk "standby" di Bukit Jalil untuk upacara penutup Sukan Sea bersama rakan setugas, Jun Yong yang rupanya turut mencetak sejarah bersama Astro Arena apabila turun ke venue sukan buat kali pertama untuk berlintas langsung. Walaupun saya sedar tangan Jun Yong yang menggenggam telefon bimbit ketika itu sedikit menggeletar sehingga lupa yang dia sepatutnya bercakap dalam bahasa inggeris, saya gembira kerana berjaya "melayu"kan amoi cantik ini.
Cukuplah ini sahaja yang saya kongsikan buat semua, selebihnya saya lebih suka simpan buat tersenyum sendiri nanti. Apa yang boleh saya katakan, temasya seumpama ini bukan sahaja mengeratkan perpaduan di antara negara bertanding seperti yang dilaung-laungkan, kami keluarga Astro Arena juga lebih rapat dan sangat merindui masing-masing.
Selamat Hari Kemerdekaan ke-60.