RENCANA
Kempunan nak lihat final Piala Malaysia 2017 di Stadium Bukit Jalil
Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) pada Rabu memutuskan untuk menjadikan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.
4 November 2017 akan menjadi saksi siapakah yang akan menjulang piala yang sudah menjadi sejarah dan tradisi dalam kancah bola sepak tempatan.
Menurut FMLLP, mereka bercadang untuk mengadakan perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Oktober, namun terpaksa dipinda bagi memberi laluan kepada persiapan pasukan Malaysia ke Sukan SEA.
Iklan
Namun, Stadium Nasional tidak dapat digunakan untuk acara bola sepak pada tanggal 4 November ini memandangkan stadium itu sudah ditempah untuk acara lain.
Ia nyata mendatangkan kekecewaan buat kebanyakan peminat bola sepak tanah air yang mengharapkan final dilangsungkan di Stadium Nasional.
Seperti diketahui ramai, Stadium Nasional ditutup lama bagi melalui proses baik pulih untuk Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN.
Stadium Nasional ini yang turut terlibat dalam penjenamaan baru Bandaraya Sukan KL, yang akan melalui tiga fasa, bagi menjadikannya satu mercu tanda baru negara.
Populous, firma seni bina terkenal dunia, merupakan syarikat yang bertanggungjawab menukar imej baru Stadium Nasional ini.
Populous terkenal dengan rekod cemerlang dalam mereka bentuk Stadium Emirates milik pasukan Arsenal, Stadium Olimpik London, serta Stadium Yankees di New York.
Selepas cemerlang menjadi venue upacara pembukaan dan penutup Sukan SEA, peminat bola sepak perlu menunggu lebih lama untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dilangsungkan di stadium berwajah baru ini.
Apatah lagi, dengan permukaan padang yang baru, disamping ciri-ciri moden yang baru dipasang , ia seolah-olah cukup sempurna untuk dijadikan penentu kejuaraan sebarang pertandingan bola sepak di negara ini.
Bukan mahu menidakkan keupayaan Stadium Shah Alam , namun amat rugi untuk melepaskan Stadium Nasional kepada aktiviti yang bukan berkaitan bola sepak.
Must-Watch Video