Kejayaan Misi 33 belum menjamin kedudukan Durakovic
Fadzrie Hazis
Disember 14, 2015 09:11 MYT
Disember 14, 2015 09:11 MYT
Namun, tumpuan media arus perdana selepas ini pasti tertumpu kepada masa depan Durakovic selaku pengendali Gergasi Merah untuk musim 2016.
Biarpun bekas pertahanan antarabangsa Australia itu masih mempunyai baki kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), terdapat desas-desus yang mengaitkan pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan dengan Selangor sebelum saingan Piala Malaysia musim ini bermula.
Terdapat juga sumber dalaman FAS yang memaklumkan penulis, sudah ada cadangan untuk memberi tugasan lain kepada Durakovic seperti pengarah teknikal atau akademi sehingga kontraknya tamat akhir musim depan.
Difahamkan keretakan hubungan Durakovic dengan beberapa pegawai FAS bermula sebelum saingan Liga M musim ini bermula, apabila terdapatnya beberapa penolong jurulatih dan pemain dibawa masuk tanpa pengetahuan pengendali tersebut.
Ia memberi gambaran situasi sukar buat Durakovic membimbing Selangor musim ini namun, berkat kesungguhan dan keikhlasannya dalam melaksanakan tugas membolehkan dia tetap meraih kejuaraan Piala Malaysia.
Sejak mula mengenali Durakovic dengan lebih dekat musim lalu, penulis melihat bekas tonggak pertahanan Selangor ini membina asas kekuatan pasukanya daripada bahagian pertahanan.
Dia turut berupaya membimbing sebuah pasukan tanpa nama besar untuk mencabar lawan lebih ampuh, serta merupakan segelintir jurulatih dalam kancah Liga M yang berani mempertaruhkan penyerang tempatan dalam kesebelasan utama.
Hasil sentuhan Durakovic,tonggak tengah Nazmi Faiz Mansor kini sudah mula menjelmakan kembali tahap permainan terbaiknya yang suatu ketika dulu pernah menarik perhatian kelab Portugal SC Beira Mar dan membantu skuad bawah 23 tahun negara meraih emas Sukan Sea Indonesia, 2011.
Ahmad Hazwan Bakri turut cemerlang sepanjang musim termasuk dua gol di pentas akhir Piala Malaysia, walaupun lebih kerap digunakan Durakovic selaku pemain sayap kiri dalam kesebelasan utama.
Barisan pertahanan yang diterajui Shahrom Kalam tampak semakin ampuh tatkala Norazlan Razali cukup cemerlang selaku benteng akhir sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini.
Pada pengamatan penulis, Durakovic sudah berjaya membina asas kekuatan Selangor dan hanya memerlukan tambahan lima atau enam pemain berkualiti bagi mendapat ramuan mencukupi membentuk barisan ampuh sepanjang musim depan.
Kini persoalan penulis kepada pucuk pimpinan FAS adalah, mengapa mahu mengetepikan seorang jurulatih yang sudah berjaya membawa pulang sebuah kejuaraan yang dinanti selama sedekad?