Keguguran selepas selesai mengulas aksi final NSL

Suzana Basri
November 9, 2023 14:09 MYT

Sejujurnya, ia bukanlah pengalaman yang mudah untuk saya kongsikan kerana ianya mengingatkan saya tentang pengorbanan dan air mata.

Mengimbau tugasan yang diamanatkan pada Mac 2021 – dalam meragui kemampuan diri, entah bagaimana saya boleh bersetuju untuk menjadi pengulas bagi kejohanan yang julung kalinya dianjurkan oleh Astro.

“Su, kita nak anjurkan liga bola jaring. Ikut pelan asal, kita nak seramai mungkin tenaga kerja wanita. Biasanya orang tengok you mengacara dan baca berita kan, tapi mereka tak tahu you boleh buat commentary. Are you interested?”

Lebih kurang begitulah tawaran yang diberikan oleh Nicholas John, yang kini bertindak sebagai Ketua Bahagian Sukan Astro.

Terkejut. Teruja. Takut. Perasaan saya berbelah bahagi. Saya ambil masa untuk berfikir.

Seperti tahu saya masih belum memberikan sebarang jawapan, Slamet Sazly Yaakub yang menjadi antara pencetus penganjuran NSL tiba-tiba tampil.

“Kau boleh, Su. Kita tak ada lagi pengulas wanita yang bukan dari kalangan atlet. Pengulas wanita yang ada di Malaysia pun tak ramai. Kau boleh bekerjasama dengan Sharon Wee.”

Mungkin terbeli dengan konsep semuanya membabitkan wanita – seronok apabila memikirkan bukan sahaja pengacara, pengulas dan pengulas pakar terdiri daripada wanita tetapi juga penerbit dan pengarah – maka, saya pun menjawab “Okay, saya cuba.”

Namun dalam bidang ini tiada istilah mencuba. Segalanya perlu tersedia lengkap untuk tontonan.

Dalam saya mendekatkan diri dengan komuniti bola jaring di Malaysia untuk memahami landskap sukan ini dengan lebih mendalam, saya juga perlu bertatih dalam transisi seorang pengacara tv dan penyampai berita kepada pengulas perlawanan yang memimpin ulasan pakar.

Saya tidak ada ruang untuk membuat kesilapan. Seperti pemain diatas gelanggang yang diadili oleh pengadil, saya juga begitu – dalam setiap perlawanan, saya diadili seperti pengulas yang sudah bertahun-tahun melakukan tugasan ini, setiap hari.

Dengan izin-Nya, segalanya berjaya diharungi sehingga aksi final NSL pada 11 April 2021 – satu lagi sejarah tercipta apabila saya diberikan kepercayaan untuk mengendalikan perlawanan yang menyaksikan KL Wildcats menundukkan Johor Jewels.

Namun dalam kemeriahan meraikan kejayaan sulung itu, tiada siapa tahu yang saya sedang menanggung kesakitan. Saya mula merasa sakit yang luar biasa dibahagian pinggang, sebelum pentas akhir dibuka. Sempat saya berpesan kepada Nadira Abd Hamid, Penerbit yang turut sama terbabit ketika itu sekiranya berlaku apa-apa kepada saya.

Doa saya ketika itu hanya satu – agar diberikan peluang untuk menyempurnakan baki tugasan yang telah diamanahkan. Saya mahu selesaikan apa yang telah saya mulakan. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Beberapa jam kemudian, kesakitan yang dirasai semakin kerap. Setibanya dirumah, darah mula turun dengan banyaknya. Saya dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan saya telah kehilangan kandungan yang memasuki usia 12 minggu.

Kandungan itu sepatutnya menjadi berita gembira yang belum sempat saya kongsikan. Berita yang pada asalnya mahu diwar-warkan selepas berakhirnya saingan NSL.

“Kenapa tak beritahu kat bos Su pregnant? Kena banyak rehat. Tak boleh stress.”

Itu antara perkara yang paling banyak dilontarkan kepada saya sebaik mengetahui apa yang berlaku, dan ini termasuklah bos sendiri – tetapi sebenarnya saya tidak pernah menyesal membuat keputusan menyertai keluarga NSL ketika itu – pengalaman yang menjadikan saya sebagai versi yang lebih baik pada penganjuran musim 2022, yang akan saya kongsikan pada nukilan akan datang.

Terima kasih kepada yang menyokong saya selama ini.

Kita jumpa di Nadi Arena.

;