Skip to main content

Rencana

Joe Alston, ejen FBI yang nyaris beraksi dalam Piala Thomas 1952

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

joe-alston.jpg
Amerika Syarikat bukanlah satu kuasa besar dalam sukan badminton dunia. Kebanggaan mereka ketika ini mungkin bersandarkan kepada perseorangan wanita, Zhang Beiwen, yang kini menghuni ranking ke-15 dunia.

Namun, sebenarnya Amerika Syarikat sudah pun menang Piala Uber sebanyak tiga kali, menyamai rekod Indonesia, iaitu pada tahun tahun 1957, 1960 dan 1963.

Berbalik kepada Joseph Cameron Alston, atau turut dikenali sebagai Joe Alston, individu ini antara ikon sukan popular pada era 50-an itu di sebalik badminton bukanlah sukan popular di negara itu. Ia gara-gara kemunculan Alston dalam majalah berpengaruh di negara tersebut, Sport Illustrated, menyaksikan Alston kemudian dikenali ramai sehingga mengganggu karier beliau dalam Persekutuan Biro Siasatan (FBI) apabila tidak dapat melakukan kerja-kerja penyamaran.

Alston mula menyertai badan siasatan itu pada 1952, dan ketika itu dia juga turut mewakili Amerika Syarikat dalam saingan Piala Thomas yang berlangsung di Singapura, berpasangan dengan Wynn Rogers. Bagaimanapun, majikannya tidak meluluskan permohonan cutinya untuk Joe beraksi di pentas final selepas Amerika Syarikat cemerlang menumbangkan India 5-4 sebelum itu.

Ia menyaksikan negara tersebut tempang dengan Wynn Rogers terpaksa bergandingan bersama Bob Williams selain turut kehilangan pemain berpengaruh seperti Dave Freeman, dengan Malaya ketika itu berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Thomas buat kali kedua berturut-turut apabila menewaskan Amerika Syarikat dengan keputusan 7-2 di Stadium Happy World, Singapura.

Dari 1951 hingga 1967, Alston telahpun membuat lapan penampilan di pentas Piala Thomas dan telah memenangi pelbagai gelaran kebangsaan, selain turut cemerlang beraksi dalam acara beregu campuran bersamanya isterinya, Louis Alston.

Kariernya bersama FBI juga tidak kurang hebat apabila bertindak sebagai kes koordinator di Los Angeles dengan antara kes terbesar pernah dikendalikan Alston adalah penculikan waris taikun surat khabar, Patty Hearst, dan rampasan kapal terbang Boeing 727 oleh D.B Cooper.

Siapa sangka, di sebalik tangan yang hebat menghayun raket, turut cekap mengendalikan kes penyiasatan.

Advertisement

Must Watch Video