Skip to main content

Rencana

Jodoh EPL, Huddersfield hanya dua tahun

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cover.jpg
Aksi lewat malam semalam menyaksikan Huddersfield Town muncul pasukan pertama daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini yang bakal diturunkan ke saingan Liga Kejuaraan 2019-20 setelah tewas 2-0 di tangan Crystal Palace.

Biarpun The Terriers bertandang ke Selhurst Park dengan harapan tidak mahu mencicirkan mata, namun jaringan daripada Luka Milivojevic dan Patrick Van Aanholt membuatkan catatan 14 mata yang diraih sebelum ini tidak dapat diubah.



Kekalahan itu membuatkan Huddersfield muncul pasukan kedua dalam era EPL yang tersingkir daripada saingan sebelum berakhir bulan Mac tatkala mereka hanya mengatasi sehari berbanding kempen yang dilalui Derby County ketika musim 2007/08, namun tetap sama daripada segi jumlah perlawanan yang diharungi (32).

Melengkapkan lagi penyingkiran ke Liga Kejuaraan, Huddersfield kini menyumbat gol paling sedikit (18) dalam kempen musim ini serta melalui 24 kekalahan.

Apa yang menarik, The Terriers yang dinaikkan ke saingan tertinggi sejak musim lalu memulakan kempen 2017-18 dengan cemerlang, memenangi dua aksi pertama serta mengharungi enam minggu terawal dalam kelompok 10 terbaik kedudukan liga. Mereka juga hanya menghuni zon penyingkiran sekali musim lalu sebelum akhirnya menamatkan saingan di tempat ke-16.



Paling membanggakan, pengendali ketika itu, David Wagner, dinobatkan sebagai pengurus terbaik bulanan bagi September 2017 walaupun baru mengharungi musim sulung di pentas tertinggi England dan hanya beberapa bulan setelah mengemudi Huddersfield menduduki tangga kelima Liga Kejuaraan.

Bagaimanapun, segalanya tampak buruk musim ini.

Hanya tiga mata diraih dalam 10 aksi pertama dan lapan kekalahan berturut-turut dilalui selepas itu menyebabkan Wagner meninggalkan pasukan menerusi persetujuan bersama.

-photo siewert-

Kehadiran bekas pengurus skuad simpanan Borussia Dortmund, Jan Siewert, menggantikan tempat Wagner selepas itu dilihat tetap gagal mengubah nasib malang The Terriers dan segalanya terbukti lewat malam tadi.

Lebih perit buat peminat di Stadium John Smith's, penyingkiran ke Liga Kejuaraan menyaksikan Siewert tidak memberikan sebarang kata putus mengenai kelibatnya bersama kelab musim depan dan lebih malang, situasi itu juga mungkin mempengaruhi pemilik pasukan, Dean Hoyle, untuk menjual kelab memandangkan Huddersfield masih berhutang GBP50 juta (RM266 juta) dengannya.



Apa yang pasti, saingan EPL 2019-20 tidak akan melibatkan aksi di John Smith's, sekurang-kurangnya untuk semusim tatkala masa depan pemain yang menjadi tonggak utama The Terriers musim ini seperti Adama Diakhaby, Terence Kongolo serta penjaga gol Denmark, Jonas Lossl, bakal menarik minat kelab pertengahan EPL yang lain.

Advertisement

Must Watch Video