Skip to main content

Rencana

Joachim Loew resah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

low.jpg
Joachim Loew, nama yang tidak asing dalam bola sepak Jerman. Lebih sedekad memimpin pasukan dengan pencapaian terbaik muncul juara Piala Dunia edisi 2014.

Mungkin terlalu lama berada di zon selesa, segalanya berubah 360 darjah apabila skuad Die Mannschaft tersingkir di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia Rusia 2018 dengan dimalukan wakil asia, Korea Selatan pada perlawanan terakhir mereka. Loew boleh dikatakan cukup bertuah apabila jawatannya sedikit pun tidak terjejas dan masih kekal membimbing skuad kebangsaan Jerman. 

Terbaru, Jerman dimalukan oleh pasukan yang tidak layak ke Piala Dunia lalu, Belanda. Mengekalkan barisan pemain yang hampir sama kecuali tanpa Mesut Ozil, Jerman mudah diratah The Oranje 3-0 hasil jaringan Virgil Van Djik, Wijnaldum dan Memphis Depay. Kekalahan terbaru ini sudah tentu meresahkan pengendali berusia 58 tahun itu apabila beliau dikritik hebat media Jerman dan antarabangsa.

Bekas pemain kebangsaan Jerman seperti Michael Ballack, turut mengkritik prestasi Loew selain terkejut bahawa pengendali itu masih kekal memegang jawatan ketua jurulatih.

Biarpun menguasai keseluruhan perlawanan, namun ketumpulan jentera serangan Jerman ternyata membimbangkan, boleh dikatakan penyakit sama yang menimpa mereka pada Piala Dunia lalu apabila sukar menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

Perlawanan seterusnya selepas ini pasti amat penting bagi Loew untuk mendapatkan kemenangan dalam mengembalikan keyakinan pasukan selain melegakan seketika kedudukannya selaku ketua jurulatih. Namun, harus diingati, lawan mereka selepas ini adalah pasukan yang muncul juara Piala Dunia 2018, Perancis.

Dayang percaya, perlawanan ini akan menjadi titik tolak sama ada Loew masih relevan dalam skuad kebangsaan Jerman atau tidak. Mungkinkah itu akan menjadi perlawanan terakhir Loew bersama Jerman?

Advertisement

Must Watch Video