Jatuh cinta dalam dunia atlet para
Nur Amira Ibrahim
Disember 16, 2015 13:36 MYT
Disember 16, 2015 13:36 MYT
Sebulan saya mendekatkan diri dengan atlit-atlit para negara sebagai persediaan sebelum ke Singapura.
Renang antara acara yang kerap kali saya membuat liputan. Benar apa yang diperkatakan oleh rakan-rakan, saat kita menyaksikan sendiri mereka bekerja keras bersaing merebut pingat, tidak mustahil saat itu terdetik rasa sayu dengan kegigihan mereka.
Paling membanggakan saya adalah seorang atlit renang, Yoong Chung Wei yang berjaya membawa pulang pingat dalam kesemua acara yang disertainya. 2 pingat emas dan 7 pingat perak.
Tidak ada satu acara pun dia terlepas dari mendapatkan pingat kecuali acara terakhirnya, 50M Lelaki Kuak Lentang S14 yang memaksa dia menarik diri kerana mengalami sesak nafas.
"Satu benda yang paling mencabar buat saya adalah untuk memberi sepenuh perhatian kepada mereka". Itu pula antara luahan jurulatih renang, Dieung Manggang.
Ada satu insiden di mana seorang atlit renang tidak dibenarkan bertanding kerana gagal lapor diri 15 minit awal. Paling mengejutkan adalah kerana dia begitu teruja berada di tempat penonton memberi sokongan kepada rakan seperjuangan sehingga leka dan akhirnya terlupa untuk bertanding.
Itulah hakikatnya berdepan dengan atlit istimewa ini. Tidak boleh cepat putus asa dalam melatih mereka dan syabas saya ucapkan kepada jurulatih ini atas apa yang telah dicapai oleh perenang negara.
Itu baru acara renang, belum lagi bercerita kisah acara powerlifting dan bola keranjang yang mula membuka mata saya untuk menerokai lebih mendalam mengenai atlit-atlit ini. Tidak akan saya lupa pengalaman sepanjang membuat liputan di Sukan Para Asean 2015 dan sudah pasti, ia tidak akan berhenti di sini sahaja.