RENCANA

'Jambu' tetap dinanti

Zulhelmi Zainal Azam 11/11/2019 | 02:45 MYT
Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada pemain tengah Johor Darul Ta'zim, Afiq Fazail, aka 'Jambu' atas perkahwinannya, Sabtu lalu.
Afiq menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun selepas selamat diijabkabulkan bersama pasangannya pada hari yang sama skuad Harimau Malaya menentang Tajikistan pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Saat terindah dan istimewa dalam hidup Afiq turut dikongsi peminat bola sepak tanah air sekali pun hasrat mereka untuk menyaksikan kelibat pemain itu dalam pertemuan menentang lawan di ranking ke-116 dunia, Tajikistan tidak kesampaian.
Afiq yang juga adik kepada bekas kapten Harimau Muda A, Irfan Fazail diberi pelepasan oleh pengendali negara Tan Cheng Hoe kerana komitmen berkenaan tetapi kembali menyertai skuad kebangsaan untuk menghadapi dua aksi penting dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Ini bermakna, Afiq selaku muka baru untuk panggilan skuad negara kali ini tetap berada dalam perancangan utama Cheng Hoe walaupun kemampuannya belum teruji terhadap kesesuaian pendekatan taktikal dan corak permainan jurulatih berusia 51 tahun itu.
Cheng hoe sebaliknya percaya 'arkitek' JDT itu mampu menawarkan kelainan buat Harimau Malaya tatkala pemain tengah lain seperti Syamer Kutty Abba dan Baddrol Bakhtiar juga berjaya menyerlahkan kelebihan masing-masing.
"Kami perlu menghormati keputusan Afiq, namun dia masih lagi kekal dalam perancangan kami. Saya berharap dia segera menyesuaikan diri dalam skuad negara, dalam masa sama ketenangan dalam corak permainannya amat diperlukan," katanya.
Prestasi memberangsangkan yang ditampilkan oleh Afiq sepanjang musim ini bersama JDT nyata membuahkan hasil apabila mendapat perhatian Tan Cheng Hoe.
Malah sepanjang kempen Piala Malaysia yang lalu, Afiq berjaya menghasilkan enam bantuan gol untuk menjadikan beliau sebagai pemain kedua dengan jumlah bantuan gol tertinggi dalam pertandingan tersebut selepas Baddrol.
Walaupun tidak beraksi, Afiq tetap menjadi harapan tinggi peminat bola sepak negara untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan namanya terus dicanang untuk bergandingan dengan Brendan Gan dan Nor Azam Azih sebagai kombinasi pilihan bertemu Thailand, 14 November ini.
Saya tidak menafikan kombinasi itu memang mantap untuk digandingkan, namun kita tidak perlu memberi tekanan tinggi kepada Afiq dan mengharapkan sesuatu yang luar biasa daripada pemain berkenaan.
Saya berpendapat, adalah lebih baik kita menyerahkan sepenuhnya kepada Cheng Hoe membuat percaturan terbaiknya dalam usaha meraih kemenangan ke atas skuad Gajah Perang sebelum berdepan Indonesia dalam perlawanan berikutnya, 19 November ini.
Akhir kata, semoga maju jaya buat Afiq. Afiq kelibat anda tetap dinanti.
Kredit foto: Johor Southern Tigers
;