Shopee de Paris edisi Selasa menampilkan tiga orang rakyat Malaysia yang baru tiba di Paris untuk merasakan suasana Olimpik di Kota Cinta itu.

Ketika lintas langsung bersama wartawan Zulhelmi Zainal Azam, mereka berkongsikan bahawa diri mereka adalah pelajar dari Dubai yang datang ke sana semata-mata hendak merasakan “vibe” temasya Olimpik yang dikatakan peluang sekali seumur hidup.

Salah seorang daripada mereka berasal daripada Johor, sementara dua orang lagi berasal daripada Kelantan.

Zulhelmi, yang telah berada di Paris sejak sebelum upacara pembukaan Olimpik lagi, sempat “lepas rindu” berbual dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan bersama tiga pelajar tersebut.

Jika berpeluang, mereka juga ingin menyaksikan persembahan atlit Malaysia yang masih lagi beraksi di Olimpik.

Antara yang masih memperjuangkan nama Malaysia di sana ketika ini, termasuklah kem berbasikal negara melibatkan Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati, selain kem pelayaran negara yang diwakili Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Latif, kem terjun negara yang didukung Bertrand Rhodict dan Dhabitah Sabri, serta Aniq Kasdan dalam acara angkat berat dan Ashley Lau, acara golf wanita.