RENCANA
Hina Watson Nyambek bermakna hina seluruh atlet negara amnya
Nama mendiang ayah Watson, Nyambek, dipersendakan.
Sikap kurang ajar dan tidak sensitif oleh seorang pengacara di sebuah televisyen swasta bukan sahaja membuat bekas pelari pecut negara yang pernah dikenali sebagai ‘The Flying Dayak’ itu berang tetapi seluruh komuniti atlet negara.
Dalam sebuah program, pengacara itu menyamakan bapa Watson yang meninggal dunia tiga tahun lalu, dengan binatang.
Iklan
"Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa saya terima, nak ketawakan saya apa boleh buat, nasib kita macam tu, tapi bapa saya bukan binatang untuk dipersendakan," kata ikon sukan olahraga berusia 41 tahun dari Miri itu yang memegang rekod 100 meter kebangsaan 10.30 saat selama 18 tahun sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan yang melakukan 10.18s dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun lepas.
Bagi atlet negara, jika legenda seperti Watson Nyambek yang telah mengharumkan nama negara sepanjang kariernya tidak diberi penghormatan dan tidak di ambil serius oleh masyarakat, ini bermakna maruah seluruh atlet negara juga tercalar dan diperkotak-katikkan.
Ramai kenalan Watson menyokongnya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengacara dan stesen televisyen swasta itu supaya ia menjadi pengajaran kepada semua.
Ini juga memberi mesej bahawa setiap individu mempunyai hak untuk mempertahankan maruah mereka dan supaya setiap anggota masyarakat lebih prihatin dan sensitif sebelum menyuarakan atau melakukan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan individu lain.
Dalam insiden lain, baru –baru ini juga berlaku kontroversi melibatkan pasukan dan peminat dalam Liga Bola Sepak Malaysia yang ditegur kerana menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dengan kata-kata yang kurang menyenangkan.
Situasi yang berlaku kepada Watson juga membuka mata komuniti sukan, terutama bekas atlet dan atlet yang masih aktif bersaing, bahawa maruah dan kebajikan mereka perlu dipertahankan dan jasa mereka perlu terus dikenang tanpa diperkecilkan.
Ini kerana atlet negara adalah aset dan kebanggaan Malaysia.
Must-Watch Video