RENCANA

Harap ada perubahan positif!

Burn Thevandran 16/05/2017 | 13:02 MYT
Teka-teki siapa pengendali skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk melantik jurulatih berusia 64 tahun yang berasal dari Portugal, Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada.
Mesra dengan panggilan Nelo Vingada, penulis pasti peminat di luar sana telah meneliti siapakan individu ini dan apakah pencapaian serta pengalaman yang dimiliki oleh Vingada.
Sejujurnya, penulis pertama kali mendengar nama Vingada, jadi itu secara tidak langsung memberitahu bahawa penulis bukanlah individu yang sesuai untuk bercerita mengenai beliau.
Cuma, selaku salah seorang penyokong Harimau Malaya, siapa pun yang menduduki jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan, apa yang kami mahukan hanyalah perubahan positif dan bukan besifat sementara.
Penulis mahu melihat skuad kebangsaan kembali digeruni pada peringkat Asia Tenggara -- digeruni oleh Filipina, Singapura, Indonesia, Vietnam dan juga Thailand dan bukan ditertawakan oleh Laos, Kemboja dan Myanmar seperti yang berlaku sekarang.
Harapan penulis bahawa pimpinan kali ini bukanlah hanya indah khabar daripada rupa. Sejarah telah membuktikan bahawa kehadiran pengendali dari luar negara hanyalah sekadar menyedapkan hati.
Lihat Hatem Soussi, Alan Harris, dan mendiang Bertalan Beskei, semuanya gagal mengembalikan maruah Malaysia seperti yang peminat inginkan, Di awalnya sahaja, berjanji itu ini, tetapi akhirnya tetap mengecewakan.
Selaku seorang peminat yang menyokong dari luar padang, penulis sama sekali tidak kisah jika beberapa tonggak negara yang telah bersara mahu kembali membuat u-turn, asalkan mampu memberikan impak baik dan bukan sekadar menjadi penumpang dalam skuad.
Penulis juga tidak mahu ambil pusing tentang isu-isu yang lepas seperti masalah dalaman FAM, kekurangan dana, pengadilan atau pengurusan, kerana bagi penulis, kita perlu melihat kehadapan. Apa yang harus menjadi keutamaan kini adalah kebangkitan semula skuad Harimau Malaya.
Dengan Tan Cheng Hoe dikhabarkan bakal menjadi pembantu Vingada, diharapkan setahun, dua tahun ataupun tiga tahun lagi, peminat akan dapat merasai hasil tuaian yang dilakukan FAM, dan bukan alasan atas kegagalan.
#bola sepak malaysia #Football Association of Malaysia #Harimau Malaysia #Malaysia #Bole Sepak Malaysia
;