RENCANA
Haiya, saya patut mati ketika umur 68 tau!
Penulis berkesempatan membuat liputan antarabangsa cabaran Ironman Langkawi 2016. Banyak perkara boleh dikongsikan penulis ketika membuat tugasan ini.
Antaranya adalah kisah seorang warga emas berumur 79 tahun, Yee Sze Mun ataupun lebih mesra disapa “Uncle Yee” yang merupakan peserta paling tua dalam sejarah cabaran Ironman Langkawi.
Buat yang kurang mengenali acara ini, Ironman adalah satu acara sukan yang bukan calang-calang orang mampu sertai, atlit olimpik pun belum tentu mampu untuk bersaing seperti mereka. Mereka perlu mempersiapkan diri menghadapi tiga disiplin sukan antaranya berenang sejauh 3.8 km kemudiannya berbasikal sejauh 180 km ( setanding dengan satu laluan dalam siri perlumbaan Le Tour De Langkawi) dan berlari 42.2 km ( bersamaan dengan satu larian marathon).
Bagi atlit profesional seperti Harry Wiltshire, Diana Riesler mahupun Frederick Croneborg, mereka mampu melakukannya dalam tempoh 7 jam. Namun untuk peserta biasa yang menyertainya, mereka akan bersaing selama 17 jam untuk melengkapkan kesemua tiga disiplin itu.
Berlatih untuk hadapi saingan Ironman adalah amat sukar kerana bukan sahaja mencabar fizikal tetapi juga mental dan emosi, seperti Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang memperuntukkan 16 jam seminggu untuk berlatih, dan dalam masa sama dia juga perlu imbangi kerjaya dan keluarga.
Mereka perlu bangun awal pagi untuk berlatih, dan kemudiannya meneruskan rutin harian bekerja, dan kembali sambung latihan pada waktu petang atau malam. Tidak cukup dengan itu, mereka juga perlu ikuti diet yang sihat, dan ada di antara mereka sudah lama tidak menyentuh nasi lemak ataupun makanan ringan, dan mereka juga perlu ada kewangan yang stabil kerana kos untuk sertai satu acara Ironman adalah sekitar USD 400 (RM 1800) tidak termasuk kos penginapan dan makan minum. Membacanya sahaja sudah boleh terbayang azab dan peritnya untuk menjadi seorang atlit Ironman.
Justeru melihat kelibat seorang pak cik tua yang setengah abad umurnya daripada penulis menghadirkan perasaan kagum. Uncle Yee sudah pun menyertai hampir 20 siri cabaran Ironman di seluruh dunia, termasuk 6 kali di Kona, Hawaii.
Disingkap kembali kisahnya pada tahun 1989, ketika menjalani pemeriksaan kesihatan pada umur 52 tahun, dia didapati menghidapi penyakit antaranya kolestrol dan darah tinggi. Tidak cukup dengan itu, dia juga menemui tukang tilik untuk meramal masa depannya, dan diberitahu hanya akan hidup sampai umur 68 sahaja!
Sejak itu, Uncle Yee mengubah gaya hidupnya dan pada umur 58 dia memberanikan diri menyertai saingan Ironman di Kona, Hawaii dan berjaya menamatkan saingan dengan catatan 16 jam 37 minit.
Walaubagaimanapun kemalangan di awal tahun membuat Uncle Yee kempunan beraksi di Ironman Langkawi 2016. Ketika membuat sesi latihan di Rawang, dia terlibat dengan kemalangan apabila dilanggar oleh sebuah kereta.
Namun atas semangat cintakan sukan ini, dia tetap datang berikan sokongan dan memberi inspirasi buat para peserta di samping melancarkan buku tentang perjalanannya sepanjang sertai saingan Ironman yang bertajuk “The Bumble Bee in Me”.