Hafifi lupakan Lokman?
Bazly Azmi
Disember 6, 2015 04:12 MYT
Disember 6, 2015 04:12 MYT
Hafifi mohon berlatih di Indonesia, tahun lalu ketika belum pulih kecederaan dan disitu dia bertemu Lokman - jurulatih angkat berat legenda Indonesia.
Lokman ketika itu masih di zaman kemuncak selepas membantu Indonesia raih satu perak satu gangsa Sukan Olimpik London 2012 menerusi anak buahnya, Triyatno dan Eko Yuli Irawan.
Perbincangan dilakukan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Lokman berjaya dipancing ke Malaysia dengan misi - membantu Hafifi menyinar di tiga kejohanan, Sukan Komanwel, Asia dan kejohanan dunia.
Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Berkat latihan hampir 6 bulan, Hafifi berjaya mencipta kejutan raih emas kategori 69kg Sukan Komanwel Glasgow, Scotland - itulah satu-satunya buah tangan dia bersama Lokman.
"Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku. Dia mengalami kecederaan belakang tetapi seakan tidak bersemangat untuk terus berjuang.
"Saya fikir dia lupa bahawa masih ada dua lagi misi yang perlu dicapai (Sukan Asia dan kejohanan dunia). Saya kecewa dengan sikapnya," kata Lokman.
Saya sempat bertanya kepada Hafifi dan dia menjawab: "Keadaan sudah berubah. Saya tidak sesuai dengan program latihannya hingga cedera.
"Saya terpaksa bertukar kepada jurulatih Wang (Zhi Quan). Saya harap dapat layak ke Sukan Olimpik Rio 2016," kata atlit kelahiran Terengganu itu.
Angkat berat antara sukan yang berdepan tugas berat untuk layak ke Olimpik Rio kerana Malaysia sudah jauh ketinggalan dari segi mata kelayakan.
Indonesia pula terus konsisten dengan tujuh atlit sudah layak ke Rio dan dijangka membawa pulang emas.
Dalam hal ini, adakah Hafifi atau Lokman yang rugi? Atau sudah terlewat untuk pegawai Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) atau MSN campur tangan?